KUALA LUMPUR: Sebanyak 51 peratus daripada 1,113 responden di negara ini bersetuju bahawa amalan rasuah merupakan satu budaya.

Berdasarkan peratusan tersebut, golongan belia dan warga emas lebih bersetuju berbanding kategori umur yang lain.

Manakala, majoriti dalam kalangan swasta turut menzahirkan pandangan sama terhadap kenyataan itu berbanding kakitangan kerajaan dan sektor pendidikan.

Dapatan tersebut didedahkan dalam kajian bertajuk "Voices From The Ground: The Corruption Complex In Malaysia" yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM).

Hasil utama dalam kajian tersebut menyatakan salah satu punca berlakunya rasuah di negara ini ialah kerana sistem kleptokrasi yang diuruskan oleh golongan kleptokrat.

"Rasuah telah menjadi sebahagian daripada budaya, dan rasuah menjejaskan sistem meritokrasi. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti sistem meritokrasi boleh diamalkan sepenuhnya, tetapi harus melihat konteks dan situasi tertentu.

"Politik dilihat sebagai jalan menuju kekayaan dan rasuah sebagai jalan untuk berjaya. Bagaimanapun, usaha membanteras rasuah bukan hanya terletak pada kerajaan tetapi harus menjadi usaha bersama rakyat," demikian menurut laporan kajian tersebut.

Tinjauan kajian itu meliputi enam topik perbincangan termasuk Rasuah di Malaysia: Siapakah yang Bertanggungjawab?; Rasuah dan Generasi Muda; Rasuah dan Risiko: Pembiayaan Politik dan Akauntabiliti; Agama dan Rasuah; Mengekang Rasuah: Keterlibatan Media dan Masyarakat; serta Rasuah dan Gerakan Sosial.

Selain itu, laporan kajian turut menyatakan majoriti bersetuju bahawa agama sangat berkait rapat dengan rasuah, tetapi responden belia di negara ini secara purata tidak bersetuju.

Walau bagaimanapun, lebih 95 peratus memberi kata sepakat bahawa agama boleh memainkan peranan penting untuk membendung rasuah dan tokoh agama bertanggungjawab memastikan perkara itu.
Namun, institusi keluarga iaitu ibu bapa dilihat sebagai pihak yang lebih penting daripada organisasi agama untuk membendung gejala rasuah.

"Kira-kira 93 peratus responden bersetuju bahawa masyarakat memainkan peranan penting dalam mengekang rasuah, dengan menyatakan TIDAK kepada  rasuah.

"Sementara itu, 82 peratus responden secara purata bersetuju bahawa pemberian hadiah secara rasmi adalah perbuatan rasuah. Menariknya, peratusan menunjukkan responden berumur 51 tahun ke atas yang bersetuju dengan perkara itu adalah lebih rendah berbanding purata umur lain.

"Malah, majoriti responden berumur 60 tahun ke atas tidak menganggap hadiah sebagai satu bentuk rasuah," jelas hasil kajian tersebut lagi.

Mengenai Rasuah dan Risiko: Pembiayaan Politik dan Akauntabiliti pula, warganegara yang berpengetahuan bersetuju bahawa pembiayaan politik boleh dilakukan melalui sumber persendirian dan awam.

Pun begitu, pembaharuan besar diperlukan untuk memastikan dana politik digunakan atas sebab yang relevan dan dengan penuh ketelusan.

“Namun, tidak ada konsensus yang jelas.  Rata-rata berpandangan Dana awam tidak seharusnya diperuntukkan kepada mana-mana parti politik kerana ia dibimbangi disalahgunakan.

“Selain itu, terdapat tahap kenyakinan yang sangat rendah bagi pembiayaan asing untuk mana-mana parti politik,” tambah laporan kajian tersebut.

Sementara itu, kira-kira 83 peratus peserta bersetuju bahawa rakyat di negara ini mempunyai semangat ke arah sifar rasuah, manakala lebih 90 peratus bersetuju bahawa pendekatan akar umbi kepada perubahan sosial adalah yang paling berkesan.

Jelas laporan tersebut lagi, pendekatan akar umbi penting tetapi ruang untuk gerakan sosial adalah sangat terhad walaupun ia jelas sangat berkesan dalam memerangi rasuah sistemik.

Sehubungan itu, ahli panel yang menjalankan kajian tersebut mengemukakan beberapa cadangan dalam usaha mencegah rasuah, termasuk masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan amalan rasuah dapat didedahkan.

"Rakyat mesti dimaklumkan dan sedar akan hak dan tanggungjawab mereka. Ini amat penting dalam kes masyarakat luar bandar, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada pengundi.

"Penduduk di kawasan luar bandar pada masa ini kelihatan tidak peduli dengan rasuah. Saluran agama mungkin berkesan dalam membawa perubahan minda masyarakat luar bandar.

"Penglibatan berterusan dengan wakil masyarakat luar bandar akan memberi kesan kepada aktiviti pencegahan rasuah," kata laporan kajian tersebut.

Antara yang terlibat dalam kajian tersebut adalah profesor di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Profesor Dr Shakila Yacob; Felo Kanan Institut Dasar dan Pengurusan Awam Antarabangsa (INPUMA), Dr Sharifah Mariam Alhabshi; Profesor Adjung INPUMA, Datuk Dr Ilango Karupannan; serta penyelidik di Universiti Friedrich Alexander, Erlangen, Fauwaz Abdul Aziz.

Majoriti daripada peserta yang terlibat dalam kajian ini adalah daripada agensi kerajaan iaitu sebanyak 37.4 peratus, institusi akademik (26.4 peratus), manakala selebihnya terdiri daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).