MELAKA: Seramai 1,105 mangsa banjir masih ditempatkan di 12 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di negeri ini sehingga pagi Jumaat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata semua mangsa itu melibatkan 283 buah keluarga.

Katanya, daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 718 mangsa, diikuti daerah Jasin (266) dan Alor gajah (121).

“Sehingga jam 8 pagi ini enam pusat pemindahan masih dibuka di Melaka Tengah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam 2, SK Krubong, SK Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan SMK Bukit Katil.

“Tiga PPS di Jasin pula masing-masing di SMK Seri Bemban, SK Tehel dan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Shuh Yen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi daerah Alor gajah sebelum ini lima PPS dibuka, namun dua daripadanya sudah ditutup dan hanya PPS di SK Durian Tunggal, SJKC Sin Wah dan SK Telok Berembang masih menempatkan mangsa banjir.

Tambahnya, semua mangsa banjir itu melibatkan penduduk di 52 kawasan kediaman iaitu 26 di Melaka Tengah, 14 di Alor Gajah dan 12 di Jasin.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) turut meramalkan hujan di beberapa kawasan pantai seluruh negeri Melaka pada sebelah pagi ini dan tiada hujan pada petang dan malam.