KOTA KINABALU: Sebanyak 53,000 dos vaksin tunggal jenis CanSino tiba di Sabah hari ini, kata Dr Rose Nani Mudin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah itu berkata ia merupakan kumpulan pertama bagi bekalan vaksin dos tunggal yang akan dibekalkan secara berperingkat ke Sabah.

"Lebih banyak bekalan dos vaksin tersebut akan tiba dalam bulan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dr Rose Nani berkata JKNS dan kerajaan negeri akan meneruskan usaha dalam meningkatkan kadar vaksinasi dengan memperhebat program imunisasi "outreach" di kawasan pedalaman dan sukar untuk dicapai.

Pada masa yang sama katanya, khidmat 'walk-in' di pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini juga diteruskan bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksin.

"Saya menyeru kepada semua untuk mengambil vaksin COVID-19 kerana ia terbukti memberi perlindungan kepada individu.

"Jika mereka dijangkiti selepas divaksin, simptom-simptom adalah kurang serius berbanding jika mereka belum divaksin," katanya lagi.

Tambah Dr Rose Nani, setakat 23 Ogos, Sabah merekodkan sejumlah 1,469,376 individu yang telah menerima suntikan dos pertama, manakala sebanyak 866,228 individu telah melengkapkan dua dos vaksin.

"Kadar vaksinasi di negeri ini bagi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah mencapai 53.3 peratus dan 31.4 peratus daripadanya sudah melengkapkan dua dos vaksin," katanya.

Selain itu, beliau berkata JKNS telah melakukan beberapa penambahbaikan dalam usaha untuk mendepani peningkatan jumlah sampel ujian COVID-19 di Sabah hingga berlakunya backlog.

Hari ini sahaja, Sabah merekodkan jumlah kes positif tertinggi iaitu 3,376 kes.

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, satu kluster baharu melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja dikenali sebagai Kluster Sungai Pin 3, Kinabatangan itu melibatkan sebuah ladang sawit di Mukim Sukau.

"Kes indeks merupakan pekerja ladang, wanita, 51 tahun, yang bergejala sejak 27 Julai, dan disahkan positif COVID-19 di Klinik Kesihatan Batu Putih, Kinabatangan pada 9 Ogos.

"Aktiviti persampelan terhadap 83 kontak mendapati 55 daripadanya dikesan positif, termasuk 52 kes baharu yang dilaporkan hari ini meliputi kontak pekerja dan tanggungan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Setakat ini, proses siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain.