KUALA LUMPUR:Seramai 536 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  berkata daripada jumlah itu, seramai 527 individu telah dikompaun, lapan direman dan seorang lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

"Antara kesalahan dilakukan ialah gagal memakai pelitup muka (134), tiada penjarakan fizikal (153) dan lain-lain kesalahan hampir sama setiap hari.

"Saya juga nak ingatkan bahawa penguat kuasa akan meningkatkan pemeriksaan dan ambil tindakan ke atas mereka yang ingkar arahan termasuk pemilik premis," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu. 

Katanya, menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) pula , seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI), lima penyeludup dan  enam kenderaan darat berjaya ditahan dalam operasi yang diadakan seluruh negara.

"Sebanyak 342 SJR (sekatan jalan raya) Op Benteng melibatkan 180 SJR ATM (Angkatan Tentera Malaysia), polis (154) dan sembilan oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Saya seru orang ramai yang ingin lapor sebarang maklumat atau mengenai PATI, mereka boleh hubungi 011- 6251 1223," ujarnya.