KUALA LUMPUR: Sebanyak 155 daripada 260 bandar telah mencapai kategori menua manakala 557 daripada 1,065 mukim mencapai kategori yang sama.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Mukim Kerling di Selangor mencatatkan penduduk tertinggi bagi umur 65 tahun dan lebih, dengan 25.2 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan, Mukim Pulau Babi di Johor mencacatkan 96.2 peratus penduduk berusia 15 hingga 64 tahun.

Mohd Uzir menjelaskan, jumlah penduduk tertinggi bagi umur 0 hingga 14 tahun adalah Mukim Ayer Molek di Melaka dengan 73.4 peratus.

“Penduduk di mukim meningkat daripada 15.3 juta pada 2010 kepada 18.6 juta pada 2020.

"Pada masa yang sama, penduduk di bandar meningkat kepada 5.9 juta pada 2020 berbanding dengan 5.0 juta pada 2010.

"Sementara itu, pekan mencatatkan taburan penduduk 2.0 juta pada 2020 (2010: 1.6 juta),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Uzir juga memaklumkan, sebanyak 50 peratus daripada 405 buah pekan juga telah mencapai kategori menua.

Menurut beliau, bilangan tempat kediaman bagi mukim berjumlah 5.6 juta, manakala bandar mencatatkan 1.9 juta, dan pekan dengan 0.6 juta tempat kediaman pada tahun 2020.

"Mukim Hulu Kinta, Perak merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi bagi mukim (0.2 juta), manakala bagi bandar, Bandar Ampang, Selangor merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi (0.1 juta), dan Pekan Baru Sungai Buloh, Selangor mencatatkan bilangan tempat kediaman tertinggi bagi pekan (0.04 juta).

"Mukim Pulai, Johor merekodkan bilangan tempat kediaman kosong tertinggi iaitu 0.05 juta,” katanya lagi.

DOSM memaklumkan, terdapat 1,730 mukim, bandar dan pekan di Semenanjung Malaysia yang merangkumi 13 negeri seperti yang dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara.

Daripada jumlah tersebut, 1,065 ialah Mukim, 260 ialah bandar dan 405 ialah pekan.

Bagi Sarawak, Sabah dan W.P. Labuan, sempadan statistik adalah berdasarkan pewartaan pusat pentadbiran negeri dan Banci Malaysia 2020 di mana persempadanan data statistik adalah berdasarkan peringkat Negeri, Bahagian dan Daerah/ Daerah Kecil (tanpa mukim, bandar dan pekan).