Kerajaan Perancis berdepan lagi undi tidak percaya

Kerajaan minoriti pimpinan Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, berdepan dua usul undi tidak percaya pada Isnin selepas beliau cuba mendapatkan kelulusan belanjawan melalui Perhimpunan Kebangsaan tanpa pengundian muktamad. - Gambar fail/AP
PARIS: Kerajaan minoriti pimpinan Perdana Menteri Perancis, Sebastien Lecornu, berdepan dua usul undi tidak percaya pada Isnin selepas beliau cuba mendapatkan kelulusan belanjawan melalui Perhimpunan Kebangsaan tanpa pengundian muktamad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ringkasan AI
- Kerajaan minoriti Perancis menghadapi dua usul undi tidak percaya selepas cuba lulus belanjawan melalui Perhimpunan Kebangsaan tanpa pengundian muktamad.
- Perbahasan dijangka bermula Isnin bagi menentukan sokongan terhadap Kabinet berhaluan kiri-tengah, namun jangkaan kejatuhan kerajaan tidak timbul.
- Sebastien Lecornu berjaya mendapatkan sokongan Sosialis dengan beberapa konsesi dalam belanjawan, manakala usul undi tidak percaya datang dari sayap kanan dan kiri.
Sekiranya kerajaan berjaya melepasi undi tidak percaya di parlimen, Belanjawan 2026 akan dianggap sebagai diluluskan.
Usul undi tidak percaya itu dikemukakan oleh kumpulan nasionalis sayap kanan pimpinan Marine Le Pen di satu pihak, manakala satu lagi usul daripada gabungan sayap kiri, parti Greens dan Komunis.
Percubaan untuk menjatuhkan kerajaan itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Lecornu yang menggunakan peruntukan khas perlembagaan bagi meluluskan belanjawan tahun ini tanpa melalui undian akhir, selepas rundingan untuk mencapai kompromi menemui jalan buntu.
Lecornu dan kerajaannya sebelum ini telah berjaya melepasi empat undi tidak percaya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang berkaitan dengan bahagian-bahagian tertentu dalam belanjawan.
Kejayaan Perancis yang kini dibebani hutang yang tinggi untuk akhirnya mempunyai belanjawan selepas tempoh kebuntuan, dijangka disambut baik oleh komuniti perniagaan dan rakan kongsi Kesatuan Eropah (EU) seperti Jerman.
Langkah itu memberikan kejelasan kepada syarikat-syarikat untuk pelaburan dan pengambilan kakitangan, selain membolehkan sektor awam kembali membuat pelaburan.
Prospek Perancis dalam menangani isu hutangnya juga dilihat sebagai isyarat positif kepada EU.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


