TUMPAT: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 57 notis kompaun terhadap peniaga bazar Ramadan di negeri itu sepanjang minggu pertama Ramadan (3 hingga 9 April) membabitkan nilai kompaun RM6,400.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata antara kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 ialah peniaga tidak mendapat suntikan sebagai pengendali makanan, tidak mengikuti kursus pengendali makanan anjuran JKNK dan tidak mengenakan pakaian sesuai sebagai peniaga

"Sebanyak 818 gerai dan 1,692 pengendali makanan di seluruh Kelantan telah diperiksa.

"Selain itu, 30 sampel makanan diambil bagi analisis mikrobiologi dan 35 sampel bagi analisis kimia telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Budaya 3-M (Mengamal, Memilih Dan Melaksana) Bazar Ramadan 2022 Peringkat Negeri dekat Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata JKNK telah menubuhkan 54 pasukan pemantau terdiri daripada 194 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan kepada peniaga bazar Ramadan.

"Bagi tahun ini juga, sebanyak 65 bazar Ramadan telah berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri melibatkan 3,780 petak perniagaan.

"Oleh itu, dengan adanya Kempen Budaya 3-M Bazar Ramadan ini, ia dapat memupuk kesedaran kepada semua pengunjung dan peniaga bazar Ramadan mengenai kebersihan," katanya menambah setakat ini tiada sebarang kes keracunan makanan berlaku di Kelantan.

-- BERNAMA