KUALA LUMPUR: Jalan protokol dan utama sepanjang 59 kilometer (km) di sekitar ibu negara melibatkan keluasan kira-kira 1.3 juta meter persegi bakal diberi nafas baharu menerusi Program Turapan Lapan Jalan.
Inisiatif terbaharu itu yang dibahagikan kepada dua fasa, menyasarkan peningkatan jangka hayat turapan jalan raya hingga 50 peratus selain memastikan kawasan terlibat 100 peratus bebas daripada masalah jalan berlubang.
Fasa pertama, yang melibatkan lima laluan, mula dilaksanakan secara berperingkat bulan ini, dengan jumlah kos keseluruhan RM61.64 juta dalam tempoh 24 minggu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, fokus utama Belanjawan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun 2026 ialah kembali kepada perkhidmatan asas demi memastikan kebajikan dan keselamatan warga kota sentiasa terpelihara.
“Bagi perbelanjaan kali ini, jangka hayat (jalan) dijangka meningkat hingga 50 peratus berbanding tampalan biasa sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan hingga 40 peratus... kali ini perbelanjaannya besar tetapi kita mahu pastikan ia berbaloi,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja penurapan jalan, di sini, malam tadi.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Hannah berkata, kerja-kerja itu hanya dimulakan pada waktu malam, iaitu antara 10 malam hingga 5 pagi supaya tidak mengganggu waktu puncak trafik.
“Jadi, pengguna diminta bersabar kerana jalan raya utama ini tidak boleh ditutup sepenuhnya... ini merupakan keseimbangan terbaik yang boleh kita laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Fadlun memaklumkan, DBKL memperuntukkan belanjawan khas melebihi RM100 juta bagi menjayakan keseluruhan projek penurapan secara komprehensif itu, dengan fasa kedua melibatkan laluan sepanjang lebih 15 km dengan kos RM43 juta.
Beliau berkata, kerja penurapan semula menggunakan kaedah pengisaran dan penurapan dipilih kerana ia memberikan ketahanan yang jauh lebih kukuh berbanding tampalan konvensional.
Fasa pertama penurapan membabitkan lima laluan utama iaitu Lebuhraya Sultan Iskandar-Jalan Damansara-Jalan Istana, Bulatan Syed Putra-Mid Valley Megamall (arah masuk dan keluar), Jalan Sultan Ismail (susur Jalan Kuching-Jalan Imbi) dan Jalan Ampang (susur Intermark-Jalan Raja Chulan), susur masuk lebuh raya berhadapan lapangan terbang lama (Lebuhraya Kuala Lumpur (KL)-Seremban Fasa 1) sehingga susur masuk Lebuhraya SPE serta susur masuk Lebuhraya SPE-pintu gerbang (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 2).
Fasa Kedua, yang dijadualkan bermula September depan, pula melibatkan tiga laluan dengan tempoh pelaksanaan selama 24 minggu iaitu Bulatan Batu Caves-Simpang Jalan Sultan Sulaiman (Jalan Kuching dan Jalan Kinabalu), Bulatan Kampung Pandan-Menara PJD (Jalan Tun Razak) serta pintu gerbang-sempadan Kuala Lumpur-Selangor (Lebuhraya KL-Seremban Fasa 3).
Penggunaan Stone Mastic Asphalt (SMA14) dan cat thermoplastic yang mempunyai kebolehan memantulkan cahaya turut dipertaruhkan bagi meningkatkan keterlihatan dan ketahanan beban berat seterusnya memastikan aspek keselamatan pengguna lalu lintas berada pada tahap tertinggi.
-- BERNAMA