Skip to main content

Malaysia

596 kes baharu tibi dikesan, peningkatan 23 peratus berbanding ME-5/2026

61770729104_TBTibi.jpg
Berdasarkan kenyataan KKM, Sabah terus merekodkan jumlah tertinggi setakat ini dengan 755 kes berbanding 614 kes pada minggu ke-5, peningkatan sebanyak 141 kes. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 596 kes baharu tuberkulosis atau tibi dikesan di seluruh negara pada Minggu Epidemiologi keenam tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 3,161 setakat ini. 

Angka itu menunjukkan peningkatan lebih 23 peratus berbanding minggu epidemiologi sebelumnya. 

Advertisement

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bulan Ramadan bukanlah punca kepada peningkatan kes berkenaan. 

Bagaimanapun, menurut kementerian itu, peningkatan aktiviti sosial serta penganjuran pelbagai perhimpunan sepanjang bulan berkenaan secara tidak langsung meningkatkan interaksi dalam kalangan masyarakat, sekali gus berpotensi menyumbang kepada risiko jangkitan. 

Berdasarkan kenyataan KKM, Sabah terus merekodkan jumlah tertinggi setakat ini dengan 755 kes berbanding 614 kes pada minggu ke-5, peningkatan sebanyak 141 kes. 

Negeri itu menyumbang kira-kira 24 peratus daripada keseluruhan kes nasional dengan kadar insiden tertinggi iaitu 20.08. 

"Selangor kekal di kedudukan kedua dengan 596 kes berbanding 476 kes sebelum ini, meningkat 120 kes. 

"Bagaimanapun, kadar insidennya lebih rendah iaitu 8.05 meskipun menyumbang 18.85 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada Sabtu. 

Menurut kenyataan itu, Sarawak turut menunjukkan peningkatan kepada 332 kes berbanding 257 kes pada minggu ke-5, diikuti Johor yang mencatatkan 280 kes berbanding 233 kes sebelum ini. 

Selain itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula merekodkan 244 kes berbanding 202 kes, dengan kadar insiden 11.12, antara yang tertinggi di Semenanjung. 

"Di utara Semenanjung, Kedah meningkat kepada 181 kes berbanding 144 kes, manakala Pulau Pinang mencatatkan 172 kes berbanding 148 kes sebelum ini. 

"Perak turut meningkat kepada 154 kes berbanding 127 kes," ujarnya. 

Sementara itu, Kelantan mencatatkan 121 kes, diikuti Pahang (103 kes) dan Terengganu (74 kes) yang turut menunjukkan trend peningkatan berbanding minggu ke-5. 

Dalam pada itu, Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing merekodkan 62 dan 48 kes, manakala Perlis mencatatkan 21 kes berbanding 17 kes sebelum ini. 

Walaupun Labuan hanya merekodkan 18 kes berbanding 16 kes pada minggu sebelumnya, kadar insidennya kekal tinggi iaitu 17.84, kedua tertinggi selepas Sabah.

Must Watch Video