PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin hari ini menggariskan beberapa sebab utama mengapa Digital Nasional Berhad (DNB), diwujudkan Kerajaan Persekutuan sebagai penyedia dan pemudahcara perkhidmatan 5G untuk negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, penubuhan DNB sebagai special purpose vehicle (SPV), dilakukan selepas mengambil kira perbezaan kepentingan syarikat telekomunikasi, yang mungkin menjejaskan usaha penyediaan perkhidmatan tersebut.

Muhyiddin berkata, selepas penubuhannya, DNB telah melaksanakan tender melalui request of proposal (RFP) bagi Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G pada 7 April, 2021, dan penilaian selesai pada 1 Julai, 2021.

“Berdasarkan penilaian tersebut, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd (Ericsson) telah dilantik sebagai penyedia perkakasan rangkaian (Network Equipment Provider atau NEP).

“Proses tender ini juga dijalankan setelah mengadakan perundingan dengan pihak syarikat telekomunikasi termasuk dalam aspek mereka bentuk rangkaian,” katanya lagi.

Justeru model pelaksanaan tersebut tambahnya adalah amat penting untuk memastikan keterangkuman dan penyediaan perkhidmatan 5G yang mampu dinikmati oleh setiap golongan rakyat pada masa hadapan.

DNB juga katanya tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan penyediaan rangkaian 5G dengan cepat pada kos yang lebih rendah.

Selain itu, beliau berkata, akses kepada kapasiti dan rangkaian dapat diberikan kepada semua syarikat telekomunikasi secara terbuka dan adil, dan isu persaingan dan harga borong perkhidmatan yang disediakan oleh DNB, dapat dikawal.

"Kos pelaksanaan rangkaian 5G akan dibiayai sepenuhnya oleh DNB melalui hasil jualan yang dijana di samping gabungan pembiayaan tertunda serta pembiayaan perdagangan dan modal kerja.

"Kepentingan kontraktor Bumiputera akan diutamakan di dalam projek 5G melalui DNB. Ini adalah kerana salah satu syarat projek 5G ialah keperluan untuk memanfaatkan lebih 60 peratus kontraktor Bumiputera dan kontraktor dari Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya lagi.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor menjelaskan konsep rangkaian tunggal 5G atau SWN telah dibincangkan secara bersama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Kabinet sejak 2019.

BACA: DNB: KKMM sentiasa bekerjasama dengan MoF dalam pelbagai perkara - Annuar

BACA: DNB: Tengku Zafrul perjelas kenyataan Zahidi, nafi MoF tidak bincang dengan KKMM 

Tengku Zafrul memberi penjelasan itu bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat pada 9 Dis, bahawa tiada perundingan antara MOF dan KKMM mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model Rangkaian Borong Tunggal (SWN).

Mengulas mengenai model SWN itu, Muhyiddin berkata, beliau sebagai menjadi Perdana Menteri ketika itu telah terlibat dengan pelbagai perbincangan, termasuklah sesi libat urus dalam menjayakan usaha penyediaan rangkaian 5G itu.

“Saya telah dimaklumkan bahawa cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak berjaya dilaksanakan kerana perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi.

“Ini telah menyebabkan usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak berlaku seperti yang diharapkan,” katanya lagi.

Susulan itu, Muhyiddin berkata, perbincangan bersama pakar industri telah diadakan untuk mencadangkan pembentukan sebuah syarikat tujuan khas, atau Special Purpose Vehicle (SPV), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan untuk melaksanakan rangkaian borong tunggal 5G ke seluruh negara.

Kapasiti 5G dan akses secara borong (wholesale), jelasnya lagi, akan disediakan kepada syarikat telekomunikasi sedia ada melalui SPV tersebut.

“Pulangan kepada SPV pula adalah berdasarkan kepada model pendapatan yang berpatutan bagi memastikan caj perkhidmatan 5G kepada pengguna adalah rendah. Pada 3 Februari, 2021, Majlis Jemaah Menteri telahpun mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

“Selanjutnya, pada 19 Februari 2021, semasa Majlis Pelancaran MyDigital dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan perkara ini serta bahawa teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat bermula hujung 2021,” katanya lagi.