KUALA LUMPUR : Jumlah kes harian COVID-19 hari ini mencatatkan pertambahan sebanyak 6,060 kes dalam tempoh 24 jam lalu, sedikit menurun berbanding semalam. 

Angka itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak pandemik di negara ini sebanyak 2,460,809 kes.

Setakat semalam, data COVIDNOW merekodkan 95 kematian menjadikan jumlah kumulatif korban dalam negara ialah sebanyak 28,769.


Berdasarkan jumlah kes baharu yang dilaporkan, sebahagian besar kes masih melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu mereka yang tidak bergejala dan gejala ringan dengan sebanyak 98.3 peratus atau bersamaan 5,955 kes. 

Manakala selebihnya merupakan pesakit kategori 3,4, dan 5 dengan kadar peratusan sebanyak 1.7 peratus. 

Ketika ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) sedang menempatkan seramai 570 pesakit dan daripada jumlah itu juga, 300 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

Dalam pada itu, angka kes sembuh hari ini melebihi jumlah kes baharu iaitu sebanyak 7,297 dengan angka kumulatif kes sembuh kini 2,361,919 kes.