KUALA LUMPUR:  Sebanyak 6,080 kematian akibat kemalangan dicatatkan sepanjang tahun 2023 di seluruh negara.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata ini bermakna kira-kira 17 hingga 18 kes kematian dicatatkan dalam sehari.

“Hampir 45 minit ada satu kes kemalangan berlaku. Betapa seriusnya isu ini. Daripada jumlah tersebut, 68 hingga 70 peratus kadar kemalangan jalan raya berpunca daripada penunggang motosikal,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama TV di sini pada Selasa.

Beliau juga berkata bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, pelbagai inisiatif dilakukan pihaknya termasuk bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Polis Diraja Malaysia untuk memberi pendedahan serta didikan kepada pengguna.

Bagaimanapun, Lokman tidak menolak kemungkinan berlaku perlumbaan haram akibat tajaan pihak tertentu yang menawarkan pelbagai hadiah.

“Kemungkin terdapat syarikat permotoran yang menaja para pelumba haram ini bagi menguji kebolehan mereka dalam modifikasi enjin di jalan raya,” katanya sambil menambah sebarang pengubahsuaian atau modifikasi perlu mendapat kelulusan JPJ dan jika tidak, kenderaan mereka akan disita.

-- BERNAMA