GEORGE TOWN:Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran didalangi warga tempatan dan merampas dadah bernilai RM8.1 juta dalam tiga serbuan di negeri itu pada Khamis.

Dalam serbuan sekitar jam 4.30 pagi itu, polis menahan enam individu termasuk tiga sekeluarga iaitu ketua sindiket serta ibunya, selain isterinya warga Thailand.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ketamin dan heroin dirampas daripada ketua sindiket itu yang ditahan ketika dalam perjalanan untuk membuat penghantaran.

"Dadah ini dipercayai diperoleh dari negara jiran di utara tanah air. Nilai rampasan ialah RM8.1 juta iaitu 133.3 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu bernilai RM5.974 juta, 20.7 kg ketamin (RM1.138 juta) dan 11.1 kg heroin base (RM1.03 juta).

"Kesemuanya dipercayai untuk pasaran tempatan dan selatan semenanjung," kata Sahabudin.

Menurut Sahabudin, suspek utama dipercayai menyembunyikan dadah berkenaan di tiga lokasi berbeza iaitu di dalam bilik stor di rumah sewa di Sungai Nibong, Bayan Lepas dan rumah yang didiaminya bersama ibu dan isteri di Balik Pulau.

Sahabudin berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga buah kenderaan dan wang tunai dianggarkan bernilai RM38,400.

Kesemua suspek berusia antara 28 hingga 59 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau manakala yang lain tidak mempunyai rekod jenayah.

Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.