KOTA TINGGI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan 60 anggotanya bagi membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir di daerah ini yang bermula semalam.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anggota yang ditempatkan terdiri daripada lima pegawai dan 55 anggota lain-lain pangkat.

"Anggota yang terlibat juga telah ditentukan mana yang perlu bantu bersihkan dan akan terus berada di daerah ini dan membantu melaksanakan kerja pascabanjir sehingga selesai dan membantu kerja-kerja lain yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Gembut di Tanjung Sedili di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata beliau juga menyeru badan-badan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan untuk turut serta dalam membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

Dalam pada itu beliau turut memuji pengurusan banjir pada tahun ini yang dilihat lancar dan teratur berbanding pada tahun lepas.

"Pada tahun lepas, kita mengalami banjir sebanyak dua kali dan selepas banjir pertama berlaku kita tidak sangka banjir yang kedua akan berlaku dan itu menyebabkan pelbagai isu seperti kelewatan khemah untuk mangsa banjir, makanan dan kelengkapan lain terjadi.

"Pada kali ini saya lihat ia lebih teratur iaitu ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi dijadikan panduan sebelum arahan berpindah masuk dan keluar PPS (pusat pemindahan sementara) dikeluarkan," kata Ahli Parlimen Kota Tinggi itu.

Setakat 1 tengah hari tadi, seramai 3,742 individu daripada 1,029 keluarga masih berlindung di 23 PPS susulan banjir yang melanda daerah ini sejak 7 Jan lepas.

Semalam, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jaabar@Jaafar mengumumkan pascabanjir di daerah ini telah bermula dan dijangka berakhir 16 Jan ini.

-- BERNAMA