KUALA LUMPUR: Sebanyak 60.9 peratus populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19, setakat Ahad.

Menurut data dikongsikan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemberian dos kedua bagi populasi dewasa pula menghampiri 30 peratus iaitu 29.7 peratus.

Ini menjadikan jumlah kumulatif suntikan dos vaksin COVID-19 di negara ini melepasi 21,200,473 dos keseluruhan.

Ini selepas jumlah pemberian suntikan harian vaksin dos pertama dan kedua merekodkan 480,122 dos, pada Ahad.

Daripada keseluruhan suntikan vaksin, sebanyak 14,247,659 adalah bagi dos pertama manakala 6,952, 814 bagi dos kedua melibatkan populasi dewasa.

Enam kawasan/negeri mencatatkan pemberian vaksin melebihi 50 peratus bagi dos pertama populasi dewasa iaitu Lembah Klang (96.7 peratus), Labuan (95.1 peratus), Sarawak (84.6 peratus), Negeri Sembilan (72.5 peratus), Perlis (62.2 peratus) dan Pulau Pinang (56.2 peratus).

Manakala negeri yang lengkap dos kedua melebihi 50 peratus populasi dewasa adalah Labuan dan Sarawak apabila masing-masing mencatatkan 81.5 peratus dan 65.7 peratus.