KUCHING: Kuasa untuk memerintah negeri dan menentukan hala tuju pembangunan Sarawak adalah legasi kemerdekaan tertinggi diwariskan kepada penerus generasi negeri ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, warisan kepimpinan yang diletakkan pada bahu anak Sarawak itu harus diperkasakan agar negeri ini maju, aman dan makmur, serta dikenali masyarakat serantau dan dunia luar.

Jelasnya, dalam tempoh 60 tahun yang lepas, pemimpin-pemimpin negeri ini berusaha mengangkat martabat Sarawak mengikut suasana dan keperluan pada era mereka masing-masing.

“Terima kasih kepada pemimpin Sarawak yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama, merencanakan pembangunan untuk memodenkan ekonomi Sarawak.

“Ini juga termasuk penurunan kuasa dan pengembalian hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.

Abang Johari berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Dataran Padang Merdeka di sini hari ini.

Perayaan meraikan 60 tahun kemerdekaan Bumi Kenyalang itu disertai oleh 75 kontinjen terdiri daripada kontinjen khas, kontinjen bertanding dan kontinjen keselamatan serta pertahanan awam.

Biarpun menggenggam amanat sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam, Abang Johari menjunjung perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dalam memulakan langkah berani mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis ketika memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Sarawak.

Beliau memberi jaminan untuk meneruskan usaha pemimpin terdahulu dalam mengembalikan hak Sarawak yang terhakis seperti yang diperuntukkan dalam MA63.  

“Seluruh rakyat Sarawak menyanjungi perjuangan yang dimulakan beliau (Adenan) untuk mengangkat maruah dan martabat Sarawak ibu pertiwi kita sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan Malaysia. Terima kasih Tok Nan.

“Tok Nan tidak ada bersama kita lagi tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa usaha untuk mengembalikan hak Sarawak yang terhakis akan diteruskan sehingga semua yang diperuntukkan kepada Sarawak pada perjanjian tersebut dihormati dan dikotakan,” ujarnya lanjut.

Di bawah pemerintahan Koloni British, Sarawak diberi status kerajaan sendiri pada 22 Julai 1963 yang seterusnya menjadi salah satu wilayah yang mengasaskan penubuhan negara Malaysia pada 16 September 1963.

Lima pemimpin negeri yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sarawak ialah mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan, mendiang Datuk Tawi Seli, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub, Tun Abdul Taib Mahmud dan Adenan.