6,000 rakyat Malaysia diselamatkan daripada banjir selatan Thailand - KLN

Angka berkenaan merangkumi mereka yang dibantu keluar dari hotel, penginapan dan bangunan kediaman di sekitar Hat Yai dan kawasan berhampiran yang terjejas. - Reuters
PUTRAJAYA: Lebih kurang 6,000 rakyat Malaysia telah berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan terjejas banjir di selatan Thailand sejak operasi menyelamat dilancarkan beberapa hari lepas, kata Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam Kementerian Luar Zamshari Shaharan.
Beliau berkata angka berkenaan merangkumi mereka yang dibantu keluar dari hotel, penginapan dan bangunan kediaman di sekitar Hat Yai dan kawasan berhampiran yang terjejas akibat paras air yang meningkat secara mendadak.
"Setakat 1 tengah hari ini sahaja, sebanyak 953 rakyat Malaysia telah berjaya dibawa keluar dari kawasan yang masih berisiko ataupun dipindahkan ke kawasan lebih selamat yang dijadikan titik pengumpulan sebelum dibawa pulang.
"Maknanya, 953 rakyat Malaysia telahpun dibawa keluar hari ini sahaja dan operasi masih lagi berjalan. Keadaan cuaca di sana hari ini amat baik, air banjir telah surut, tidak sepenuhnya tetapi ada kawasan paras pinggang dan ada yang paras lutut," katanya pada Sesi Penerangan Mengenai Status Warganegara Malaysia Yang Terlibat Dalam Bencana Banjir di Selatan Thailand di sini hari ini.
Mengenai jumlah yang masih berada di kawasan terjejas, Zamshari berkata anggaran semasa menunjukkan kira-kira 1,500 rakyat Malaysia perlu dibawa keluar, namun angka itu sentiasa berubah mengikut maklumat baharu yang diterima dari semasa ke semasa.
"Angka ini berdasarkan apa yang kita (KLN) ada sekarang. Setiap hari ada sahaja maklumat baharu mengenai rakyat Malaysia yang sebelum ini kita tidak tahu berada di kawasan terjejas.
"Maka, 80 hingga 90 peratus yang kita harap dapat selamatkan hari ini adalah daripada angka semasa ini," katanya.
Beliau berkata selain itu terdapat rakyat Malaysia yang pulang sendiri melalui pintu masuk sempadan tanpa memaklumkan pihak berkuasa, menyumbang kepada perbezaan angka antara operasi di lapangan dan rekod rasmi.
Operasi menyelamat rakyat Malaysia, katanya tertumpu di bandar Hat Yai yang merupakan kawasan paling teruk terjejas, melibatkan tiga zon utama termasuk kawasan pusat bandar dan sekitar Stesen Kereta Api Hat Yai yang berhampiran sungai serta menempatkan banyak hotel dan inap desa.
Zamshari berkata pada dua hingga tiga hari pertama, pasukan penyelamat sukar memasuki kawasan itu kerana paras air yang tinggi dan arus deras, bagaimanapun keadaan kini semakin baik dan akses ke kawasan berkenaan bertambah mudah walaupun masih berbahaya untuk orang ramai keluar sendiri meredah banjir.
"Atas faktor keselamatan, kami minta mereka kekal di tempat masing-masing dan tunggu pasukan datang mengambil mereka. Di kawasan berhampiran stesen kereta api, hampir separuh berjaya dibawa keluar dan operasi sedang diteruskan," katanya menambah berdasarkan statistik Jabatan Imigresen (JIM) bagi tempoh 22 hingga 25 Nov, sebanyak 27,199 rakyat Malaysia direkodkan pulang melalui lapan pintu masuk sempadan.
Mengenai perjalanan operasi, Zamshari berkata pasukan Malaysia di lapangan memulakan tugas seawal 7.30 pagi dan akan meneruskan misi hingga malam, bergantung kepada keadaan cuaca dan arahan pihak berkuasa tempatan.
Beliau mengakui terdapat had masa tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa Thailand atas faktor keselamatan, namun pasukan Malaysia tetap berusaha sedaya upaya dengan bantuan sukarelawan bagi memastikan seberapa ramai rakyat dapat dibawa keluar setiap hari.
"Dua hari lepas, operasi dijalankan hingga kira-kira 11 malam, semalam hingga kira-kira 9 malam. Hari ini, dengan keadaan cuaca yang lebih baik, kita jangka boleh sehabis baik untuk maksimumkan jumlah yang dapat diselamatkan," katanya.
Zamshari berkata Kerajaan Malaysia amat menghargai kerjasama kerajaan Thailand yang memberi laluan kepada pasukan dan sukarelawan Malaysia untuk memasuki kawasan terjejas, walaupun bencana berlaku di wilayah negara jiran.
Katanya, sebelum sukarelawan dari Malaysia masuk, pihak berkuasa Thailand sudah terlebih dahulu menjalankan usaha menyelamat dan pemindahan mangsa di kawasan mereka, dan kehadiran pasukan Malaysia adalah untuk melengkapkan dan memperkukuh usaha terbabit, khususnya melibatkan rakyat Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan termasuk pasukan bomba sukarela dari seluruh negara, Bulan Sabit Merah dan beberapa pertubuhan lain yang membantu menyediakan bot, peralatan dan tenaga kerja di lapangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


