KUALA LUMPUR :Seramai 604 individu daripada 23 kluster baharu yang mendapat jangkitan COVID-19 dari Sabah berkemungkinan membawa mutasi jenis D614G.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian penjujukan genom terhadap 20 virus COVID-19 daripada Kluster Benteng, Lahad Datu di Sabah mengesan kewujudan mutasi tersebut.

Katanya, mutasi itu berkemungkinan berasal dari Filipina atau Indonesia.

"Pun begitu, jenis D614G yang dikesan ini adalah berbeza dengan virus di Kedah melibatkan Kluster Sivagangga, Tawar dan Sungai," katanya pada sidang media yang disiarkan menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM akan membina semula hospital sementara di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sekiranya jumlah jangkitan COVID-19 terus meningkat di Selangor.

Namun katanya, setakat ini belum wujud keperluan itu memandangkan KKM masih mampu merawat kes-kes semasa.

"Sekiranya telah berbincang dan dipersetujui untuk membina hospital, kita hanya memerlukan tiga atau empat hari sahaja.

"Ia adalah berdasarkan pengalaman kita yang telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang boleh dijadikan sebagai pusat kuarantin berisiko rendah," ujarnya.



Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sabah, Dr Francis Paul mengenai 27 kes COVID-19 yang dirawat di ICU hospital tersebut adalah melibatkan pesakit berusia bawah 50 tahun, Dr Noor Hisham menjelaskan, kebanyakan kes ICU atau kematian adalah ekoran kelewatan mendapat rawatan kesihatan.

Katanya, pesakit terbabit termasuk yang muda datang medapatkan rawatan ketika mengalami gejala berat di tahap tiga hingga empat.