MALAYSIA
626 banduan dilepaskan secara berlesen sempena Hari Kebangsaan - Jabatan Penjara

eramai 626 banduan lelaki dan wanita di seluruh negara dilepaskan secara berlesen sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68. - Foto Bernama
KAJANG: Sebanyak 626 banduan lelaki dan wanita di seluruh negara dilepaskan secara berlesen sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, kata Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Kemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang.
Ringkasan AI
- Sebanyak 626 banduan dilepaskan secara berlesen sempena Hari Kebangsaan 2025, hasil pemilihan ketat berdasarkan rekod disiplin, tempoh hukuman dan ujian psikologi.
- Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) berjaya menjimatkan kos pengurusan penjara lebih RM29 juta pada 2024 dan mengekalkan kadar kesalahan berulang rendah pada 0.8%.
- Jabatan Penjara bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk memperluas peluang pekerjaan kepada bekas banduan, membantu mereka kembali ke masyarakat secara produktif dan bermaruah.
Ahmad Faudzi berkata PBSL bukan sahaja memberi peluang kedua kepada banduan untuk kembali ke dalam masyarakat, malah membantu kerajaan menjimatkan kos pengurusan penjara.
"Pada 2024, Jabatan Penjara telah menjimatkan lebih RM29 juta melalui pelaksanaan program ini. Setakat Julai tahun ini sahaja, penjimatan mencecah RM18.1 juta," katanya.
Setakat Julai lepas, 13,844 banduan dilepaskan secara berlesen, manakala secara keseluruhan lebih 23,000 banduan diberi pelepasan sama ada melalui lesen, parol atau Perintah Kehadiran Wajib (PKW).
Mengulas kadar kesalahan berulang dalam kalangan bekas banduan yang mengikuti program pelepasan, Ahmad Faudzi berkata ia kekal rendah pada paras 0.8 peratus, membuktikan keberkesanan usaha pemulihan dan sokongan majikan.
"Sebagai contoh, ada bekas banduan yang bermula bekerja di restoran makanan segera dan berjaya naik hingga ke jawatan pengurus. Ini membuktikan penglibatan majikan memberi impak besar dalam proses transformasi mereka," katanya.
Ahmad Fauzi berkata, Jabatan Penjara turut bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperluas peluang pekerjaan kepada bekas banduan sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Sementara itu, seorang prospek yang terpilih menyertai PBSL dan hanya mahu dikenali sebagai Michael, 36, berazam untuk menggunakan peluang berkenaan sebaik mungkin, sambil mengakui pengalaman di penjara memberi pengajaran besar.
"Akibat satu kesilapan membabitkan pelaburan, saya menerima hukuman tiga tahun penjara. Sangat tidak berbaloi kerana terpaksa berpisah daripada keluarga. Saya berharap ada majikan yang akan menerima saya bekerja kerana saya mempunyai lapan tahun pengalaman bekerja dalam sektor korporat," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami