KOTA TINGGI: Sebanyak 65 kawasan 'hotspot' di daerah ini termasuk empat jalan utama dikenal pasti berisiko dinaiki air atau terputus hubungan sekiranya berlaku banjir.

Pegawai Daerah Kota Tinggi Datin Paduka Hazlina Jalil berkata kawasan itu meliputi 53 kampung, 10 taman perumahan dan dua kawasan Felda.

Beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi telah mengadakan beberapa mesyuarat penyelarasan bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangkakan pada penghujung tahun ini.

"Mesyuarat bertujuan memastikan agensi-agensi berkaitan melaksanakan projek-projek yang boleh mengurangkan risiko banjir seperti pembersihan sungai dan longkang secara berkala.

"Kita juga telah membuat persiapan dari segi aset dan logistik agensi-agensi yang melibatkan 140 unit pengangkutan pelbagai guna agar dalam keadaan baik sekiranya diperlukan semasa banjir berlaku," katanya pada sidang media Program Bantuan Bencana Petronas Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan M Zaki Mahat.

Hazlina yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi berkata seramai 447 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi bersedia digerakkan sekiranya banjir berlaku selain penyediaan 64 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menempatkan kira-kira 5,000 penduduk.

Beliau berkata Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Pejabat Daerah Kota Tinggi juga sedia diaktifkan bagi mengkoordinasikan segala keperluan semasa berlakunya banjir.

Sementara itu, M Zaki berkata Petronas menyumbangkan empat bot, 500 khemah perlindungan mangsa banjir, 250 jaket keselamatan dan 2,500 baju hujan untuk daerah Kota Tinggi.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada sumbangan bantuan banjir Petronas sebanyak RM25 juta yang diumum Disember lepas sekali gus diharapkan meringankan beban agensi terlibat dalam menjalankan tugas mereka.

-- BERNAMA