SERDANG: Seramai 7,700 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berada dalam enam kategori yang dibenarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk hadir ke kampus mula mendaftarkan diri mulai 4 hingga 13 Mac ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Dr Arifin Abdu berkata, daripada jumlah itu, seramai 6,500 pelajar di kampus Serdang dan 1,200 pelajar di kampus Bintulu, Sarawak.

Beliau berkata, pengurusan kemasukan pelajar ke kolej kediaman dilaksanakan mengikut zon, tarikh dan sesi.

“Semua pelajar yang telah mendapat sokongan/pengesahan daripada pihak Fakulti/Pusat/Sekolah masing-masing untuk kembali ke kampus UPM Serdang dikehendaki mematuhi jadual kemasukan ke kolej kediaman secara berperingkat mengikut zon, tarikh dan sesi yang telah ditetapkan.

“Bagi Zon Utara dan Timur, pelajar hanya dibenarkan untuk hadir pada 4 hingga 6 Mac melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Bagi Zon Tengah pula bermula pada 7 hingga 9 Mac membabitkan empat negeri iaitu Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya manakala bagi Zon Selatan pula melibatkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mula hadir pada 10 hingga 12 Mac 2021.

“Kemasukan pelajar dari Sabah dan Sarawak pula bergantung kepada tarikh tiket penerbangan masing-masing sepanjang tempoh 4 hingga 31 Mac 2021,” katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Arifin memberitahu, susunan pendaftaran pelajar juga dibuat mengikut peringkat dan jumlah tertentu bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) khususnya mengelakkan himpunan ramai supaya penjarakan fizikal dipatuhi.

“Sehubungan itu, kita lakukan sesi pendaftaran seramai 500 pelajar sehari di kolej kediaman masing-masing yang mana daripada jumlah itu, 250 pelajar masing-masing ditetapkan untuk sesi pagi dan petang.

“Selain itu, mereka juga telah dibekalkan semua maklumat berhubung langkah keselamatan dan pematuhan SOP selain menetapkan masa sesi pendaftaran bagi setiap pelajar,” jelasnya.