Tujuh individu ditahan selepas didapati memandu dan menunggang ketika berada di bawah pengaruh alkohol.

Kesemua mereka ditahan dalam Op Alkohol yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Petaling Jaya di Jalan PJS 8/9 kira-kira jam 12 tengah malam hingga 2.30 pagi tadi.

Seramai 35 pengguna jalan raya dan kenderaan mereka diperiksa dalam ops itu.

Dua saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada lesen memandu.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, operasi dilakukan ekoran kejadian kemalangan maut membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang dirempuh pemandu mabuk dekat kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur jam 6 pagi Jumaat.

Jelasnya, pemanduan di bawah pengaruh alkohol ini boleh membahayakan keselamatan dan menyebabkan kematian.

"Amat malang sekali pada pagi semalam telah berlaku satu kemalangan melibatkan pemandu mabuk dan mangsa telah meninggal dunia.

"Mangsa penunggang motosikal cedera parah manakala pembonceng meninggal dunia.

"Perkara ini amat menyedihkan kerana masih ada lagi warga kita bawa kenderaan dalam keadaan mabuk. Ini amat tidak bertanggungjawab," kata Nik Ezanee.

Pihaknya akan memperkasakan lagi Op Alkohol bagi mengekang dan membanteras kesalahan-kesalahan melibatkan pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Malah, beliau turut menggesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan itu memantau penjualan minuman keras di restoran sehingga lewat malam bagi membendung individu memandu atau menunggang dalam keadaan mabuk.

Dalam kejadian pagi Jumaat, seorang pekerja syarikat kurier tidak sempat menikmati gaji pertamanya selepas maut dilanggar pemandu mabuk di Lebuhraya Persekutuan.

Mangsa berusia 42 tahun membonceng motosikal ditunggang rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah.

Ketika di lokasi kejadian, sebuah kereta dipandu seorang pelajar institut pengajian tinggi swasta telah hilang kawalan dan melanggar motosikal yang dinaiki mangsa dan rakannya.

Ujian kandungan alkohol ke atas pemandu berusia 22 tahun itu mendapati dia memandu di bawah pengaruh alkohol.

Nik Ezanee berkata rakan mangsa berusia 30 tahun cedera parah dan kini berada di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.