KUALA LUMPUR: Kaji selidik dijalankan oleh Google Malaysia mendapati 72 peratus ibu bapa secara proaktif mendidik diri mereka tentang keselamatan dalam talian pada tahun ini, berbanding hanya 67 peratus pada 2021.

Menyifatkannya sebagai perkembangan menggalakkan, Ketua Komunikasi Google Malaysia Nadia Khan berkata kaji selidik dalam talian tentang 'Keselamatan Kanak-Kanak dan Keluarga' itu, juga menunjukkan 30 peratus ibu bapa tidak merasakan bahawa anak mereka mempunyai pengetahuan yang baik mengenai isu keselamatan dalam talian.

"Dari saat anak menerima peranti biasanya pada usia 10 tahun, purata ibu bapa hanya mula bercakap mengenai keselamatan dalam talian dengan mereka pada usia 13 tahun," katanya kepada media selepas taklimat meja bulat mengeni 'Keselamatan Dalam Talian bagi Kanak-Kanak dan Keluarga' di sini hari ini.

Beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran dan mendidik ibu bapa melalui sumber dan alatan percuma seperti program YouTube Kids, Family Link dan Be Internet Awesome untuk melengkapkan diri dan anak-anak mereka agar lebih selamat ketika dalam talian selain membina amalan digital yang sihat.

Ketika ditanya mengenai cadangan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang keselamatan dalam talian menerusi kerjasama rapat dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah, Nadia berkata mereka akan menimbangkan cadangan itu bagi program akan datang.

Sementara itu, Ketua Penyelesaian Prestasi Asia Tenggara (SEA) Google Jenny Lim berkata buli siber perkara yang paling menjadi kebimbangannya.

Katanya untuk itu beliau telah menetapkan had masa skrin untuk anak perempuannya terutama pada hujung minggu, selain menunjukkan contoh yang baik menerusi amalan tingkah laku bersesuaian.

"Mungkin ada ibu bapa yang tidak mahir Internet dan membiarkan saja anak mereka terdedah kepada teknologi. Bagaimanapun, penting bagi mereka untuk tahu tentang perkara ini dan satu daripada caranya ialah berhubung dengan ibu bapa lain atau mencari kumpulan yang berkepentingan sama bagi mendapatkan pandangan berbeza," katanya.

-- BERNAMA