KUALA TERENGGANU:Kira-kira 74 peratus mangsa lemas yang direkodkan di negeri Terengganu tahun ini melibatkan penduduk yang tinggal di luar negeri itu.

Tidak peka dengan keadaan cuaca dan papan tanda yang dipasang di sepanjang pantai di negeri itu, juga dipercayai menjadi penyumbang kepada kes berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Khariri Mat Resad berkata, bermula Januari hingga 28 Disember lalu, sebanyak 23 kes lemas direkodkan.

Daripada jumlah itu, 19 yang terkorban melibatkan mangsa yang tinggal di luar Terengganu, manakala empat kes melibatkan penduduk tempatan.

JBPM Terengganu memberi nasihat dan mengedar risalah sewaktu mengadakan rondaan pantai di Terengganu. - Foto Astro AWANI

“Mangsa yang lemas terdiri daripada pengunjung daripada luar. Kira-kira 74 peratus daripada mangsa adalah orang luar yang datang ke sini, melaksanakan bercuti, kenduri kahwin dan sebagainya.

“Mereka mengambil kesempatan musim cuti, kemudian datang ke pantai, mandi-manda, tanpa menyedari risiko yang sangat besar menanti di pantai Terengganu,” katanya.

BACA: Mayat kedua kes lemas di pantai di Marang ditemui

Tambahnya, majoriti mangsa yang terkorban berusia antara 10 dan 50 tahun dan kebanyakan kes lazimnya berlaku di antara jam 5 dan 7 petang.

Mohd Khariri berkata, kebanyakan mangsa tidak mengetahui keadaan pantai di negeri itu yang sememangnya berisiko untuk mandi, khususnya pada musim tengkujuh.

Jelasnya, walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan, termasuk rondaan serta mengedarkan risalah tentang risiko melakukan aktiviti di air, namun masih ada individu yang mengingkarinya.

BACA: Mayat Naim Hariri ditemukan

Pada Jumaat lalu, dua kes lemas direkodkan di daerah Marang, termasuk seorang bakal pengantin.

Kedua-dua mangsa dikatakan ditarik ombak ketika mandi di Pantai Jambu Bongkok dan Pantai Kelulut.