MALAYSIA
76 kes kebakaran di sekolah sejak Januari - Bomba

Nor Hisham bercakap kepada media pada Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, pada Selasa. - Gambar Bernama
MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 76 kes kebakaran berlaku di kawasan sekolah di seluruh negara sejak Januari lepas hingga kini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kes itu dikenal pasti berpunca daripada faktor berkaitan elektrik.
"Sama ada disebabkan pendawaian, penggunaan peralatan elektrik atau rintangan kepada bekalan elektrik itu. Jadi tiga elemen ini menyumbang lebih kurang 60 peratus daripada punca yang berlaku.
"Kita (JBPM) tidak kategorikan kejadian kebakaran berlaku sama ada di bilik darjah, makmal, stor dan sebagainya tetapi kita kategorikan keseluruhan kawasan sekolah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan National Firefighter Drill 2025 JBPM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, dekat sini, pada Selasa.Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, pihaknya telah mula menggerakkan jentera berat memasuki empat lokasi kebakaran terbuka di Sarawak.
Beliau berkata, kemasukan jentera berat adalah bagi membolehkan "pemotongan" garisan api dilakukan bagi mengawal api daripada cepat merebak.
"Kerisauan kita ialah jika hari panas terus berlaku dan akan berlaku penurunan (api) ke kawasan tanah gambut. Jadi kita kena persiapkan untuk melaksanakan pembanjiran keseluruhan," katanya.
Nor Hisham berkata, JBPM turut menerima bantuan daripada pelbagai pihak seperti syarikat-syarikat besar yang mempunyai tanah di kawasan terlibat.
Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak pada Selasa memaklumkan, kebakaran terbuka masih dilaporkan berlaku di empat lokasi di negeri itu melibatkan keseluruhan keluasan lebih 88 hektar.
Empat lokasi itu ialah ladang nanas di Marudi, Bahagian Miri; bekas tapak pelupusan sampah di Kampung Plaie, Kota Samarahan; kawasan hutan berhampiran Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah serta tapak pelupusan sampah Kampung Jerijih di Tanjung Manis.
Sehubungan itu, Nor Hisham menasihati orang ramai di negara ini supaya tidak sesekali memulakan pembakaran termasuk membakar sampah pada musim panas ini bagi mengelak kebakaran besar.
"Meskipun jumlah kes kebakaran terbuka pada tahun ini turun 50 peratus berbanding tahun lepas, kita risau berlaku kebakaran di kawasan tanah gambut kerana api akan cepat merebak di kawasan seumpama itu," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami