KLANG: Sebanyak 77,000 tan metrik sampah berjaya dikeluarkan dari Sungai Klang menerusi projek Selangor Maritime Gateway (SMG) dengan kerjasama The Ocean Cleanup, sebuah organisasi dari Belanda.

Menurut Exco Infrastruktur Negeri Selangor, Izham Hashim, kejayaan itu dicapai dengan menggunakan tujuh log boom atau penyekat sampah serta dua buah teknologi Interceptor milik The Ocean Cleanup sejak tahun 2019.

"Dulu 1,500 tan sebulan, sekarang 800 tan sahaja. Kita harap dapat direndahkan lagi dalam masa beberapa tahun lagi.

"Dari sudut kualiti air (semakin) meningkat... Dulu (dalam kategori pencemaran) kelas 4 dan 5, sekarang sudah kelas 3. Peningkatan 48 peratus.

"Peningkatan itu ketara dan kita akan laksanakan lagi beberapa perkara untuk meningkatkan kualiti air dan pengurangan sampah," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI pada Isnin.

Kelihatan sampah terapung di Sungai Klang sepanjang perjalanan kami. Gambar: Astro AWANI

Ujarnya, pelbagai pelan perancangan telah diatur oleh kerajaan negeri bagi memanfaatkan Sungai Klang.

Ia termasuk usaha pembangunan, ekopelancongan serta dijadikan punca air bersih yang dirawat dari Loji Rawatan Air Sungai Rasau yang akan dibina.

"Kita nak jadikan kegagalan bukan satu pilihan. Sungai ini akan dijadikan model bagaimana pembangunan sungai dibuat. Memang sukar, kalau senang, orang lain dah buat.

"Kita perlukan kesungguhan komitmen dan penyelesaian secara menyeluruh supaya Sungai Klang ini akan jadi contoh kepada sungai lain," jelasnya lagi.

Sampah yang berjaya dikumpul di Interceptor 005 di muara Sungai Klang. Gambar: Astro AWANI

Dalam pada itu, pemerhatian Astro AWANI sepanjang perjalanan dari Pengkalan Batu ke Interceptor 005 di muara Sungai Klang turut mendapati masih terdapat banyak sampah yang dibawa arus.

Adakalanya, bot yang melalui kawasan sungai itu terpaksa mengelak sampah supaya tidak terkena enjin yang boleh menyebabkan kerosakan.

Sepanjang perjalanan, penulis boleh melihat bagaimana sungai yang terbesar di Selangor itu semakin pulih meskipun masih banyak usaha perlu dilakukan.

Bagi Pengarah Urusan SMG, Syaiful Azmen Nordin, matlamat utama usaha yang dijalankan itu adalah untuk memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya penjagaan sungai.

Sampah yang terapung turut mengundang bahaya kepada enjin bot nelayan menggunakan Sungai Klang. Gambar: Astro AWANI

"Sungai tidak menghasilkan sampah, sampah itu datang dari kita, sepatutnya sungai tiada sampah. Kita sebenarnya menghabiskan duit dan tenaga untuk membersihkan kerosakan yang kita sendiri buat.

"Sebab itu kita buat program pembersihan ini di samping kerjasama dengan Persatuan Nelayan, agensi kerajaan, Friends of River, Tengku Zatasha pun turut hadir (Puteri Sultan Selangor) dan The Ocean Cleanup.

"Usaha ini bukan sahaja meletakkan mesin Interceptor, malah kita tengok daripada publisiti yang kita akan dapat untuk meluaskan lagi kesedaran ini," jelasnya.

Sementara itu, bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, usaha yang dijalankan mereka dalam menyelamatkan sungai dan laut daripada sampah, tidak pernah selesai.

Ujarnya, meskipun Sungai Klang kini dalam proses pemulihan, masih banyak lagi sungai di negara ini akan diselamatkan mereka.

"Kerja kami belum selesai selagi masih ada sampah dihanyutkan ke laut. Kita perlu lakukan lebih dengan kerjasama ramai pihak.

"Sekarang kita lihat di bahagian utara Malaysia seperti di Butterworth. Dalam pada itu, kita juga melihat sungai di Johor seperti Sungai Tebrau," jelasnya.

Tambahnya, sepanjang pengoperasian Interceptor, sampah domestik yang sering ditemui adalah bungkusan plastik, beg dan botol.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan di Interceptor 002 dan 005 di Klang pada Isnin.