ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 8,000 peranti termasuk komputer riba dan data Internet dengan jumlah kos RM25 juta akan diedar kepada pelajar di seluruh Johor bermula awal September ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata pengedaran kesemua peranti itu kepada pelajar golongan B40 dan M40 yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan itu dijangka mengambil masa tiga bulan iaitu sehingga November.

"Proses perolehan dilaksanakan pada Julai tahun ini, cabaran mendapatkan bekalan peranti yang disebabkan oleh kekurangan bekalan dan gangguan pada rantaian bekalan menyebabkan anjakan masa jadual bekalan peranti.

"Pada masa ini, pihak kerajaan mendapat kerjasama secara terus dengan pengeluar peranti tanpa melalui pihak ketiga bagi meminimumkan gangguan itu," katanya ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) pada persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Aminolhuda ingin mengetahui mengenai status inisiatif sumbangan peranti kepada sekolah di negeri ini bagi pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Mazlan berkata program itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM126.86 juta yang disediakan kerajaan negeri menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor (PRE 3.0) kepada rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19 termasuk golongan M40 secara bersasar.

"Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menetapkan spesifikasi yang sesuai untuk digunakan oleh pelajar berkenaan selain kerajaan turut melaksanakan kajian pasaran bagi mendapat nilai terbaik sebelum membuat perolehan," katanya.

Menurutnya, JPNJ juga maklum mengenai sumbangan peranti daripada pelbagai pihak antaranya Yayasan Raja Zarith Sofiah, Ahli Parlimen, ADUN, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat dan individu bagi meringankan beban ibu bapa dan pelajar berhubung pelaksanaan kaedah PdPR.

-- BERNAMA