PUTRAJAYA: Seramai 80 anak pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sebelum ini berada di depot imigresen bakal dipindahkan ke penempatan baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan telah mengenal pasti penempatan baharu di Nilai, Negeri Sembilan.

Ujar Saifuddin, langkah itu juga selari dengan aspek kemanusiaan berikutan ada antara mereka yang berusia bawah 18 tahun.

“Biarlah satu permulaan yang kecil ini dikendalikan oleh KDN sendiri... dan bukannya kita tidak alu-alukan agensi lain.

“Buat masa ini, 80 kanak-kanak itu diambil daripada Depot Imigresen Semenyih, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Bukit Jalil.

“Negara jiran, Thailand sejak 2019 sudahpun mengasingkan kanak-kanak di bawah 18 tahun daripada depot imigresen mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN pada Selasa.

Beliau dalam masa sama mengakui Depot Imigresen Semenyih agak sempit dan tidak sesuai bagi menempatkan tahanan yang ramai.

Perkara itu katanya dapat dilihat menerusi lawatan beliau sebelum ini yang turut menyaksikan tahanan seorang wanita bersama bayi berusia 20 hari.

“Itulah keadaan depot yang kita ada, lantainya papan dan dindingnya pula dawai besi serta tiada tilam dan alas. Malah angin pagi pula cukup sejuk dan keadaan itu cukup menginsafkan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 1,030 kanak-kanak yang terdiri daripada 579 lelaki dan 451 perempuan ditempatkan di 20 depot tahanan di beberapa negeri.