Sebanyak 80 peratus pesakit kanak-kanak dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) datang dari golongan yang memerlukan bantuan bagi menampung kos rawatan serta logistik.

Menurut Timbalan Ketua Pediatrik dan Pusat Jantung Kongenital Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Marhisham Che Mood, pihaknya menerima sebanyak 2,500 kes setahun melibatkan kanak-kanak mempunyai komplikasi jantung.

“Lebih kurang 1,500 pembedahan jantung kanak-kanak setiap tahun dan juga 1,000 kes rawatan secara bukan pembedahan di IJN.

“Jadi kita anggarkan lebih kurang 2,500 kes dalam tempoh setahun dan sebahagian besar daripada pesakit-pesakit ini adalah daripada pesakit yang memohon bantuan.

“Hanya segelintir sahaja, kalau mengikut data tahun lepas, lebih kurang 15 hingga 20 peratus sahaja pesakit yang membayar secara sendiri,” katanya dalam sidang media Majlis Perjanjian Kerjasama MoU Pogram MyHeart Siri ke-4 dan Pelancaran Tabung Prihatin.

Program MyHeart Siri ke-4 membantu pesakit jantung kanak-kanak dan remaja bawah 17 tahun daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan dan pembedahan di IJN manakala Tabung Prihatin akan diletakkan secara berperingkat di seluruh 4,000 restoran India Muslim seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan MyPrihatin, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan, Program MyHeart Siri-4 menyasarkan sebanyak RM100,000 sepanjang berlangsungnya program ini sehingga September 2020.

“Yayasan MyPrihatin akan menampung kos logistik dan sara diri pesakit serta keluarga manakala Yayasan IJN akan membiayai kos rawatan dan pembedahan pesakit di IJN,” jelasnya.

Usaha itu turut dibantu Selebriti Ikon Muslimah Nur Heliza Helmi menerusi jenama tudungnya HelizaGuzelhive dimana sebahagian keuntungan hasil jualan tudung tersebut disalurkan ke Program MyHeart.

Sumbangan ke Tabung My Heart boleh disalurkan menerusi akaun bank Yayasan MyPrihatin Maybank 5648 0164 8485.