MELAKA TENGAH: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengenal pasti sekurang-kurangnya 80 ‘hotspot’ yang dijadikan sebagai ‘port’ ponteng puasa di ketiga-tiga daerah di negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lokasi itu membabitkan premis makanan termasuk restoran bukan Islam serta premis-premis kosong.

“Lokasi yang dikategorikan sebagai ‘hotspot’ itu sudah menjadi kelaziman kerana walaupun banyak kali kita buat serbuan mereka tetap datang lagi atau dengan kata lain tempat tumpuan untuk kumpulan ‘geng plastik hitam’.

“Jadi JAIM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap peniaga juga kerana mereka boleh dianggap sebagai bersubahat, dibawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan operasi ‘Ops Plastik Hitam Bersendawa’ di sekitar Melaka Tengah hari ini.

Datuk Che Sukri Che Mat

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan menggerakkan pegawai dan anggota setiap hari sepanjang bulan Ramadan termasuk pasukan penyamaran bagi mengenal pasti umat islam yang ‘ponteng puasa’.

Katanya, mereka yang dikesan membawa rokok ataupun bekalan minuman sebelum pukul 2 petang juga akan diberikan notis untuk hadir ke pejabat JAIM bagi memberi keterangan dan sesi kaunseling.

“Saya juga pesan sekali lagi jika kita dapati sebagai contoh dalam pukul 12 tengah hari masih ada rokok dalam poket dan juga bau rokok pada badan, JAIM akan ambil kira (tindakan) dari segi penguatkuasaan,” tegasnya lagi.

Dalam perlembangan lain, beliau berkata, hanya 14 hotel di negeri ini mempunyai sijil pengesahan halal dan boleh menawarkan bufet juadah berbuka puasa dengan menggunakan logo mahupun istilah-istilah yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan orang Islam.

Sebaliknya, hotel-hotel yang tidak mempunyai sijil halal yang sah, tidak boleh menggunakan istilah seperti ‘Buffet Ramadan, Iftar Ramadan dan Jom Iftar’ yang mengeliru dan memperdayakan umat islam untuk makan di premis mereka.

Jelasnya, jika mana-mana hotel atau premis yang dikesan berdegil menggunakan iklan yang mengelirukan sedangkan mereka tidak mempunyai sijil halal boleh dikenakan denda sehingga RM10 juta.

Denda itu berpandukan Akta Perihal Dagangan (APD 2011) di bawah Perintah Perihal Dagangan (takrif Halal) serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) yang boleh didenda sehingga RM 500,000.