Sebanyak 809 premis barang lusuh di seluruh negara didapati positif pembiakan larva Aedes melalui penguatkuasaan Op Barang Lusuh yang dilakukan Kementerian Kesihatan sejak awal tahun lalu hingga bulan lepas.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 597 premis atau 29.7 peratus daripada 2,010 premis yang diperiksa sepanjang 2015, dikesan membiak larva Aedes.

Beliau berkata melalui operasi penguatkuasaan Op Barang Lusuh pada bulan lepas, sebanyak 212 lagi premis atau 24.6 peratus daripada 859 premis diperiksa didapati positif pembiakan larva Aedes.

"Johor mencatat jumlah tertinggi pembiakan larva Aedes iaitu 33 premis, diikuti 29 di Kedah, Selangor (24) dan Pulau Pinang (16)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 208 premis telah dikompaun manakala dua premis di Selangor dan Melaka telah diarahkan tutup mengikut peruntukan Seksyen 8(3)(aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 kerana kesalahan yang berulang.

"Tindakan pendakwaan di mahkamah akan dijalankan jika gagal bayar kompaun dan jika sabit kesalahan mengikut Subseksyen 13(1) APSPP 1975, denda maksimum adalah RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan yang berulang, denda maksimum adalah sebanyak RM50,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau memberi jaminan kementerian akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan APSPP 1975 secara berterusan bagi membendung peningkatan kes denggi dan mengurangkan risiko jangkitan denggi dalam kalangan masyarakat.