84,000 rayuan haji tahun ini, kuota negara sentiasa penuh

Zulkifli berkata, kuota tahunan rasmi sebanyak 31,600 orang sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun, termasuk melalui penggantian segera kekosongan tawaran menggunakan sistem THiJARI. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tabung Haji (TH) menerima lebih 84,000 permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi musim haji 2025, sekali gus membantu memastikan kuota rasmi negara dimanfaatkan sepenuhnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, kuota tahunan rasmi sebanyak 31,600 orang sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun, termasuk melalui penggantian segera kekosongan tawaran menggunakan sistem THiJARI.
"Setiap tahun, daripada keseluruhan jumlah tawaran haji yang dikeluarkan kepada bakal haji dalam giliran, terdapat sebilangan menangguh atau menunda atas alasan-alasan tertentu. Antara 2015 sehingga 2025, rekod menunjukkan semua kuota haji telah pun dipenuhi sepenuhnya.
"Bahkan, peratusan penangguhan ataupun penundaan ini semakin berkurang. Setakat 3 Desember 2025, hanya 18% sahaja bakal jumlah haji yang menangguh atau menunda menunjukkan keberkesanan strategi proaktif Lembaga TH," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai alasan penolakan tawaran haji, dan apakah langkah TH bagi memastikan kuota haji dapat dimanfaatkan sepenuhnya, di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Menurut beliau, TH telah mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan makluman peringatan awal melalui media masa, aplikasi THiJARI, pesanan SMS dan emel kepada bakal jemaah dalam giliran bagi musim haji tahun hadapan.
Langkah itu supaya mereka bersedia lebih awal, terutamanya dari aspek kemas kini rekod maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri dan penambahan ilmu berkaitan fardu ain dan haji.
Selain itu, bakal haji disaran menabung secara konsisten dan merancang kewangan bagi mencukupkan simpanan menjelang giliran.
Tambah beliau lagi, kekosongan akibat penolakan atau penangguhan tawaran akan digantikan dengan jemaah rayuan.
Zulkifli menegaskan TH komited memastikan kuota haji dipenuhi sepenuhnya setiap tahun dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada Duyufurrahman negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


