IPOH: Jumlah tangkapan pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah kini mencecah 86 orang setakat pagi ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Mohd Yusri dalam kenyataan hari ini berkata pecahan tangkapan dari 1 Feb sehingga kini ialah 64 orang ditahan polis, 22 orang ditangkap pihak imigresen, manakala baki 43 tahanan masih diburu.

Beliau berkata awal pagi tadi, pasukan operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan imigresen telah berjaya menangkap 26 lelaki etnik Rohingya.

"Tangkapan dilakukan di kawasan Kilometer (KM) 326.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) arah selatan Tapah, rumah kongsi projek Felcra Sungai Gempel Bidor, Kampung Orang Asli Kenoh Tapah, kawasan Pos Woh Jalan Pahang Tapah dan Kampung Batu Melintang Tapah," katanya.

Justeru, beliau menyeru orang ramai agar bekerjasama dalam mengesan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari depot berkenaan dan tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa, selain operasi mengesan serta menangkap diteruskan sehingga tempoh tertentu.

Dalam kejadian pada 9.50 malam Khamis lepas, sebanyak 131 tahanan terdiri daripada etnik Rohingya serta warga Myanmar dan Bangladesh meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, dengan kesemua tahanan itu merusuh serta merosakkan pagar depot sebelum melarikan diri.

Bagaimanapun, dua daripada tahanan yang lolos itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

-- BERNAMA