87 bot nelayan asing tidak lagi berada di perairan negara - APMM

Bernama
Mac 28, 2016 23:21 MYT
Pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilaporkan berkata kira-kira 100 bot dan kapal dari China dikesan menceroboh perairan negara. - Gambar fail
Sebanyak 87 bot nelayan asing dipercayai dari China, didapati telah keluar dari kawasan perairan negara.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata bot-bot berkenaan sejak semalam, berada kira-kira 145 batu nautika (300 kilometer) dari Beting Patinggi Ali.
"Hasil tindakan pengawasan serta pemantauan APMM, bot-bot nelayan asing itu telah beredar meninggalkan kawasan perairan negara," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.
BACA: Tiada bot dan kapal China ceroboh perairan negara - Hishammuddin
Pada 24 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilaporkan berkata kira-kira 100 bot dan kapal dari China dikesan menceroboh perairan negara dekat Beting Patinggi Ali.
Mengulas lanjut, Ahmad Puzi berkata APMM menggunakan lima aset melibatkan empat kapal APMM dan sebuah pesawat Bombardier bagi memantau kawasan perairan itu.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #Ahmad Puzi Ab Kahar #APMM