PUTRAJAYA: Seramai 9,152 calon dipanggil temu duga bagi urusan pelantikan tetap untuk mengisi 4,914 kekosongan jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43, Pegawai Pergigian Gred UG41 dan Pegawai Farmasi Gred UF41 bagi 2023, demikian menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

SPA dalam kenyataan semalam memaklumkan urusan temu duga itu berlangsung dari 1 Mac lepas hingga 22 Mac lepas.

Jumlah kekosongan jawatan itu melibatkan 4,263 jawatan bagi Pegawai Perubatan Gred UD43, 335 jawatan untuk Pegawai Pergigian Gred UG41 dan 316 jawatan untuk Pegawai Farmasi Gred UF41.

"SPA telah mengemukakan senarai nama calon yang hadir temu duga kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 31 Mac 2023 untuk semakan terperinci bagi memastikan semua calon yang dilantik memenuhi syarat khusus yang ditetapkan oleh KKM," menurut SPA.

Antara syaratnya ialah calon telah dilantik secara kontrak (Contract of Service) di KKM berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016; telah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara; merupakan lantikan kontrak mulai 2016 hingga 2020 sahaja.

Syarat lain ialah calon tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak; dan tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap.

"Bagi urusan pelantikan tetap 2023, seramai 4,914 calon akan dilantik tetap berdasarkan kekosongan sedia ada.

"Baki calon yang memenuhi syarat khusus KKM tetapi tidak ditawarkan lantikan tetap pada sesi pengambilan kali ini akan dijadikan calon simpanan. Sekiranya terdapat kekosongan jawatan pada masa hadapan, calon-calon simpanan akan dilantik secara tetap. Sementara calon yang tidak memenuhi syarat khusus tidak akan dilantik," menurut kenyataan itu.

SPA memaklumkan keputusan temu duga dijadualkan pada 17 April 2023 melalui e-mel, hebahan di portal rasmi dan Facebook SPA manakala surat tawaran pelantikan tetap melalui Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) akan dikeluarkan pada 2 Mei 2023.

Calon perlu membuat persetujuan penerimaan tawaran dalam tempoh 14 hari dan melengkapkan semua dokumen yang dikehendaki.

-- BERNAMA