95 peratus pematuhan pada hari kelapan PKP

Astro Awani
Mac 25, 2020 06:11 MYT
Menurut Muhyiddin, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan mencapai lebih 95 peratus pada hari kelapan penguatkuasaanya.
Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai lebih 95 peratus pada hari kelapan penguatkuasaanya, kata, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Perdana Menteri, perkembangan itu menunjukkan rakyat mengikut arahan dengan duduk di rumah.
"Hari ini adalah hari kelapan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa. Saya mendapat laporan daripada pihak polis lebih 95 peratus rakyat telah mematuhi perintah ini.
"Jalan-jalan raya lengang, pusat-pusat membeli belah ditutup, pusat-pusat rekreasi awam juga lengang dan
ramai yang telah mematuhi nasihat duduk diam-diam di rumah," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung pada Rabu.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, terdapat juga laporan mengenai sejumlah kecil insiden pelanggaran perintah berkenaan.
"Hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini. Pihak polis dan tentera telah dikerah untuk mengambil tindakan tegas bagi mengawal keadaan. Ini termasuk menutup tempat-tempat awam yang masih dikunjungi oleh ramai orang dan menahan individu-individu yang ingkar," ujarnya.
Kata Perdana Menteri, tindakan tegas terpaksa diambil oleh pihak berkuasa demi memastikan perintah larangan pergerakan ini dipatuhi dan ia mencapai hasil yang dihasratkan, iaitu membendung penularan wabak COVID-19.
"Saya hendak mengingatkan, jika perintah ini tidak dipatuhi, maka ianya tidak akan membawa apa-apa kesan positif dan segala tindakan kita akan menjadi sia-sia.
"Apa pun, yang paling utama ialah kesedaran kita sendiri. Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan untuk duduk di rumah atau stay at home," tambah beliau.
BUKAN MUDAH DUDUK DIAM DI RUMAH
Perdana Menteri dalam perutusannya turut memaklumkan, beliau menyedari bukan mudah untuk semua orang duduk di rumah bagi tempoh yang lama.
Justeru, beliau menyarankan rakyat agar lebih kreatif dengan melakukan pelbagai aktiviti untuk meluangkan masa bersama keluarga.
"Saya tahu, bukan mudah untuk saudara-saudari duduk diam-diam di rumah untuk satu tempoh masa yang agak lama. Pastinya banyak cabaran yang saudara-saudari hadapi pada waktu ini. Tiba-tiba gaya hidup kita berubah dengan sekelip mata.
"Tetapi saya lihat ramai yang kreatif. Saya tengok di Facebook, ada yang mula bersenam di rumah. Ada
yang menggunakan Skype untuk berhubung dengan rakan-rakan sekerja.
"Saya sendiripun menggunakan FaceTime untuk berbual dengan cucu saya. Maklumlah, mereka tak dapat nak berkunjung ke rumah Tok Ayah seperti biasa," kata beliau.
Katanya lagi, setiap orang mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.
"Apa pun cabaran dan dugaan yang kita hadapi, tidak sekali-kali melemahkan semangat kita untuk meneruskan kehidupan. Ya, seperti ungkapan yang sering kita dengar, when going gets tough, only the tough gets going. Apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah akan dapat mengharunginya," ujarnya.
Malah, beliau menegaskan, keadaan mungkin akan lebih sukar kerana COVID-19 adalah wabak yang tidak pernah dihadapi negara.
"Saya hendak menyebut di awal-awal ini bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar. COVID 19 adalah sejenis wabak yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini.
"Tidak pernah kita jangkakan bahawa kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak yang menular bukan sahaja di tempat kita, tetapi di seluruh dunia. Kadar jangkitannya begitu cepat," katanya lagi.
#COVID19 #Facebook #keluarga #koronavirus #menteri #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #polis #rakyat #rumah #tentera