MALAYSIA
9,686 KIR keluar daripada status miskin tegar di Perak

Salbiah berucap pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 Perak Darul Ridzuan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Negeri Perak berjaya menoktahi kemiskinan tegar sebanyak 9,686 Ketua Isi Rumah (KIR) bagi tempoh 2024 hingga 3 Sept lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Salbiah Mohamed berkata jumlah itu melibatkan 8,986 KIR pada 2024 dan 700 KIR hingga 3 Sept tahun ini.
"... dan ini menjadikan angka kosong (0) Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di negeri Perak. Ia hasil pelbagai langkah-langkah dan pendekatan," katanya pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Salbiah menjawab soalan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) yang bertanyakan tentang usaha atau pembaharuan yang akan dan sedang dilaksanakan untuk membasmi kemiskinan di Perak.Mengulas lanjut, Salbiah berkata hingga 3 Sept tahun ini, Perak berjaya mengeluarkan sebanyak 5,719 KIR daripada status miskin, menjadikan angka terkini sebanyak 2,064 KIR, iaitu penurunan 73.6 peratus.
Antara langkah diambil bagi menoktahi kemiskinan adalah penekanan kepada program peningkatan pendapatan melalui bantuan peralatan perniagaan dan program pemadanan pekerjaan yang dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi kendiri serta keluarga.
"Pogram seumpamanya banyak disediakan oleh agensi-agensi seperti Bantuan Peralatan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Geran Gerak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
"Bantuan Peralatan Biznita melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW), padanan pekerjaan melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan sebagainya untuk memastikan pendapatan golongan ini dapat dipertingkatkan," katanya.
Selain itu, bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak masih diteruskan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami