KUALA LUMPUR : Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyatakan kesediaan untuk membantu remaja yang tular dalam sebuah video kerana ditangkap cuba mencuri tabung di sebuah masjid di Rawang, Selangor pada 8 Januari lalu.

Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon dalam kenyataannya berkata, pihaknya bersedia membantu merawat mana-mana pihak yang terjebak dalam masalah penagihan dadah atau substan.

"Hasil siasatan polis mendapati remaja berusia 19 tahun itu bertindak mencuri duit tabung masjid dikatakan untuk membeli dadah dan bermain judi dalam talian.

"Pada masa sama, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati remaja terbabit positif dadah jenis syabu.

"Sehubungan itu, di AADK perkhidmatan rawatan dan pemulihan disediakan menerusi fasiliti sama ada melalui Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), perkhidmatan di daerah, Pusat Khidmat AADK dan Rumah Komuniti AADK," katanya.

Ujar beliau, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang berdaftar dengan AADK.

Semua kemudahan berkenaan jelasnya terbuka buat setiap warganegara yang terjebak dengan masalah penagihan dadah.

"Pihak kami turut berpendapat, agensi berkaitan juga perlu digerakkan bagi memastikan masalah sosial dan ekonomi remaja terlibat dalam isu berkenaan diselesaikan dengan segera.

"Sekiranya anda atau orang yang dikenali terlibat dalam permasalahan dadah sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK, hadir ke pejabat AADK yang berhampiran atau hubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-626 2233," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai seorang remaja dimandikan seperti 'jenazah' kerana cuba mencuri tabung masjid.

Video berdurasi satu minit 25 saat tular di media sosial di laman Twitter memaparkan remaja berkenaan terbaring sambil dimandikan oleh imam masjid.