BAKAL menemui penonton pada 23 Mei ini, pelakon Datuk Aaron Aziz memberitahu dia tidak mempunyai banyak babak aksi dalam filem ‘The Experts’.


Tak Banyak Babak Aksi

Aaron yang memegang watak sebagai abang sulung berkata dia dan semua pelakon juga banyak menghadiri kelas lakonan untuk mencari keserasian bersama.


“Sebenarnya dalam filem ini, saya tak ada banyak buat aksi. Cuma ada satu babak berlawan yang saya perlu lawan dengan tujuh orang… itu saja.

“Boleh katakan jalan cerita ini banyak menggunakan kebijaksanaan dan kepakaran. Sebagai abang sulung, dialog saya bersama pelakon-pelakon dalam filem itu semua berlainan.

“Ada banyak kelas lakonan, tapi bukan untuk nak mantapkan lagi lakonan tapi lebih kepada nak cari keserasian bersama disebabkan filem ini inspirasi dari kisah benar seluruh dunia.

“Ini salah satu filem heist yang kita boleh bandingkan dengan filem heist antarabangsa,” kata Aaron kepada Gempak.


Karakter Sebagai Farid

Menurut Aaron lagi, karakter Farid bukan seperti lakonannya dalam filem aksi lain sebaliknya dia melakonkan watak sebagai seorang pemikir atau ‘mastermind’.

“Ada saja babak aksi tapi tak macam filem KL Gangster la yang sekejap 2 minit nak gaduh. Filem ini ala-ala Sheriff juga, untuk berlawan itu bila perlu saja.

“Sebab watak saya bukan seorang fighter tapi saya seorang pemikir… macam mastermind,” ujarnya lagi.


Mudah Cari Keserasian

Dalam pada itu, Aaron memberitahu dia dan semua pelakon mudah mencari keserasian memandangkan mereka adalah pelakon berpengalaman selain membuat sesi latihan yang secukupnya.

“Semua pelakon berpengalaman… banyak buat sesi latihan dalam kelas lakonan, sesi latihan berlawan, sebelum masuk set pun kita buat sesi latihan, jadi keserasian itu memamg senang.

“Semua orang buat yang terbaik dan tak ada masalah langsung. Tak ada rasa cemburu, sebab dia ini overshadow ke… semua orang baik dan masing-masing tak mengejar spotlight.

Selepas filem Sheriff yang masih ditayangkan mendapat sambutan yang luar biasa, Astro Shaw bakal tampil dengan satu lagi karya agung menerusi filem The Experts.

Filem aksi heist, The Experts terbitan oleh penerbit filem pecah panggung Astro Shaw bersama ZAK Capital dan TGV Pictures bersedia untuk temui penonton bermula 23 Mei depan di pawagam seluruh negara.

Filem arahan pengarah blockbuster Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Nazim Shah pengarah filem J2: J Retribusi memperlihatkan gandingan pertama kali bintang-bintang hebat tanah air iaitu Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap sebagai lima beradik yang membuat perancangan terbesar untuk merompak.

The Experts mempertaruhkan jalan cerita yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar dan dipadatkan dengan elemen komersial, pasti mampu memberi keterujaan kepada penontonnya. -Gempak