BEIJING : Bukan sekadar perlu bersedia bergerak membangun bersama negara-negara Asia, bahkan, Malaysia juga perlu menjadi pemimpin kepada kuasa gergasi rantau itu, kata Tan Sri Johari Abdul.

Sehubungan itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu menggesa rakyat Malaysia termasuk mereka yang sedang menimba pengalaman di negara membangun serta kuasa besar Asia seperti China, perlu menyumbang kepada pembangunan negara agar tidak ketinggalan dengan negara serantau.

Menurut beliau, penting bagi Malaysia dalam menentukan kedudukannya dalam perubahan perkembangan kuasa ekonomi yang kini tertumpu di Asia selain menjadi menentukan corak kepimpinan bagi rantau itu.

“Pada Abad ke-21, majoriti pakar ekonomi kata abad ini milik Asia dan perkembangan ini kita tidak boleh duduk diam… negara jiran semakin ke hadapan.. the sleeping giants are waking up.

“Kita akan menjadi tuan rumah kepada ASEAN pada 2025 (Sidang Kemuncak ASEAN)…ramai pemimpin serantau bertanya apa corak kepimpinan yang akan Malaysia bawa untuk ASEAN dan ini kita perlu beri perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Ramah Mesra Diaspora Malaysia di Beijing, China yang berlangsung, di sini, malam tadi (Ahad).

Johari kini berada di China sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke republik itu.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, antara langkah bagi memastikan Malaysia bersedia memimpin kuasa ASEAN dengan memperkasakan dan membentuk belia tempatan menjadi pemimpin dan pakar dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berikutan kecenderungan segelintir golongan anak muda yang enggan melanjutkan pelajaran kerana terlibat dalam ekonomi gig.

Tegas beliau, sekiranya kecenderungan itu berlanjutan, ia hanya akan mendatangkan masalah buat negara yang akan kehilangan bakat dan tenaga pakar pada masa hadapan.

“Justeru kita perlu betulkan perkara ini dan saya percaya rakan-rakan saya (Kabinet dan Parlimen) sedang usahakan… belia kita di luar negara juga kita perlukan pengalaman anda untuk membangunkan Malaysia,” ujar beliau lagi.

Johari yang mengetuai delegasi Parlimen Malaysia kini dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing, China sehingga Khamis ini atas undangan rakan sejawatnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan Republik Rakyat China, Zhao Leji susulan pertemuan dua hala pemimpin legislatif itu pada 18 Mei lepas di Parlimen Malaysia.

Hari ini, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Zhao dan Pengerusi Sidang Perundingan Politik Rakyat Republik Rakyat China (CPPCC), Wang Huning.

Tidak ketinggalan, Johari juga akan menyampaikan syarahan umum ‘ASEAN dalam Abad Asia’ kepada penuntut Universiti Tsinghua untuk membincangkan peranan Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN pada 2025.