'Abang Botak' bebas daripada jalani hukuman penjara

Sinar Harian
Jun 11, 2019 09:34 MYT
Danial Tan dibebaskan sementara daripada menjalani hukuman penjara 12 bulan. -Foto Sinar Harian
Abang Botak yang dihukum penjara 12 bulan kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta menggunakan topi keledar hanya sempat bermalam enam hari di penjara sebelum dia dibebaskan sementara daripada menjalani hukuman tersebut.
Ia berikutan Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
Hasil semakan Sinar Harian, pendengaran permohonan itu berlangsung di hadapan Majistret Nur Shahira Abdul Salim, Jumaat lalu.
Mahkamah menetapkan RM6,000 sebagai jaminan dan memerintah Abang Botak atau nama sebenarnya Danial Tan Abdullah melaporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis berdekatan.
BACA: Suspek pecahkan cermin kereta kerana tidak puas hati kena hon, akhirnya ditangkap
BACA: 'Abang botak' beraya dalam penjara
BACA: Peguam sifatkan hukuman terhadap 'Abang Botak' terlalu berat
Sementara itu, semakan juga mendapati, Danial, 31, turut memfailkan semakan terhadap hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Jun lalu.
Peguam yang mewakili Danial, Nur Rafiuddin Maswari mengesahkan perkara tersebut.
Pada 31 Mei lalu, mahkamah menjatuhi hukuman itu selepas Danial yang bekerja sebagai pembantu stor kilang mengaku bersalah memecahkan cermin hadapan kereta Perodua Axia milik Siew Chean Voon, 58.
Keputusan itu menyebabkan dia terpaksa dihantar ke penjara kerana tidak membuat permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman.
Terdahulu, tular video di laman sosial mengenai kejadian tersebut dan polis berjaya memberkasnya.
#Abang Botak #Danial Abdullah Tan #Mahkamah Majistret Petaling Jaya #Nur Shahira Abdul Salim #pecah cermin kereta #pembantu stor #penangguhan pelaksanaan hukuman #penjara 12 bulan #Siew Chean Voon