SIBU:Ketua masyarakat di Sarawak diingatkan supaya memainkan peranan mereka dalam menyebarkan dasar kerajaan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini sentiasa menjadi apa yang sepatutnya mereka lakukan melalui sistem pentadbiran yang interaksi antara mereka dan kerajaan telah wujud sejak era Rajah Brooke.

"Sistem ini telah kekal sehingga sekarang. Tiada negeri lain di negara ini mempunyai jawatan bagi ketua masyarakat seperti temenggung, pemanca, penghulu dan tuai rumah.

"Ketua Masyarakat ini dihormati oleh penduduk dan mereka menjadi petugas barisan hadapan dalam menasihati rakyat mengenai dasar kerajaan," katanya pada majlis makan malam semasa sesi bertemu rakyat di sini malam ini.

Sistem itu sentiasa menjadi konsep pentadbiran di Sarawak dan sebab itulah apabila Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan mahu memperkenalkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sarawak menentangnya, kata Abang Johari.



ABANG JOHARI-KETUA MASYARAKAT (AKHIR) SIBU



"Hanya rakyat Sarawak yang tahu bagaimana mahu menguruskan negeri ini, tahu bagaimana hendak menguruskan Sarawak dan sebab itulah kita sentiasa mempunyai pendekatan harmoni terhadap rakyat pelbagai kaum di negeri ini," kata Ketua Menteri yang menasihatkan pemimpin masyarakat supaya bekerja mengikut adat Sarawak dan mengekalkan kemakmuran negeri ini.

Mengenai pembangunan wilayah tengah negeri ini, Abang Johari berkata banyak projek utama dilaksanakan di kawasan itu dalam tempoh tiga tahun lepas, terutama pembangunan infrastruktur oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) dan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA).

"Kenapa kami melakukannya? Kerana kami tahu penduduk luar bandar memerlukannya dan kami mahu membangunkan struktur ekonomi di luar bandar," katanya.

Sumber kaya yang ada di kawasan pedalaman tidak akan memberi manfaat kepada negeri ini melainkan kerajaan boleh mengurus dan memberi nilai tambah kepada sumber itu, katanya.

Pada majlis itu, beliau juga menyerahkan sijil pelantikan kepada 242 ketua masyarakat dari bahagian Sibu, Sarikei dan Mukah.

-- BERNAMA