KULIM:Dua beradik dituduh di Mahkamah, Sesyen Kulim hari ini atas empat pertuduhan kerana menceroboh dan mengganggu tugas penjawat awam pada 20 Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh Mohamad Saiful Amran, 35, didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis berpangkat sarjan yang sedang menjalankan tugas.

Tertuduh didakwa melanggar mangsa yang sedang menunggang motosikal dengan sebuah kereta jenis Proton Wira di Jalan Keda Kampung, Bagan Sena, Labu besar kira-kira pukul 6 petang pada 20 Oktober lalu.

Tertuduh melakukan perbuatan itu kerana marah adiknya yang ditahan polis kerana terlibat kes pecah rumah dan kedai.

Bagi pertuduhan kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai peniaga didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan itu Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, adik tertuduh, Ridzuan Amran, 33, turut membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan terhadapnya.

Bagi kesalahan pertama tertuduh telah menceroboh sebuah rumah di Keda Bagan Sena, Labu Besar, dan mengambil barang milik mangsa pada pukul 1.30 tengah hari 20 Oktober.

Sementara bagi kesalahan kedua pula, tertuduh didakwa menceroboh sebuah kedai di Lot 4 Kampung Keda dan mencuri barangan makanan, baju, minyak wangi dan wang tunai pada pukul 1.40 petang tarikh yang sama.

Manakala kesalahan ketiga tertuduh gagal menunjukkan kad pengenalan sebaik ditahan dan telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) dan boleh dihukum di bawah Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran 1990 kerana tidak membawa dokumen pengenalan diri.

Jika sabit kesalahan pertama dan kedua, tertuduh boleh di hukum penjara tidak lebih enam tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh boleh di hukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Akmal Abdul Ghani.

Mahkamah menetapkan 26 November 2020 bagi sebutan semula kes.