KUALA LUMPUR:Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menguatkuasakan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2334 dengan memulakan tindakan undang-undang ke atas Israel dengan kadar segera.

Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, Resolusi 2334 itu menjadi asas kukuh untuk Pejabat Pendakwa (OTP) ICC untuk memulakan siasatan ke atas jenayah yang didakwa dilakukan oleh Israel dalam pendudukan haram di wilayah Palestin sejak tahun 1967.

"ABIM amat konsisten dalam menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk menguatkuasakan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2334 dengan memulakan tindakan undang-undang ke atas Israel dengan kadar segera.

"Sesungguhnya Resolusi 2334 mengesahkan pendirian Majlis Keselamatan PBB bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki secara haram sejak tahun 1967, termasuk Jerusalem Timur, adalah tidak sah dan dianggap sebagai pelanggaran yang ketara terhadap undang-undang antarabangsa.

"Resolusi berkenaan telah menjadi asas kukuh untuk Pejabat Pendakwa (OTP) ICC untuk memohon kebenaran dari Mahkamah Jenayah Antarabangsa ICC Pre-Trial Chamber untuk memulakan siasatan ke atas jenayah yang didakwa dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin selaras dengan Perkara 15 (1) Statut Rome," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

Tambahnya, ABIM mengalu-alukan perkembangan terbaharu ICC pada 5 Februari lalu menerusi keputusan majoriti Hakim dalam PreTrial Chamber I.

"Menerusi keputusan majoriti hakim dalam PreTrial Chamber I yang menyatakan bahawa bidang kuasa wilayah mahkamah ini, dalam situasi Palestin sebagai negara yang meratifikasi Statut Rome, turut meliputi wilayah yang diduduki Israel sejak 1967 iaitu Gaza, Tebing Barat dan Timur Jerusalem.

"Adalah penting untuk dinyatakan bahawa setiap negara berkewajipan untuk mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan antarabangsa termasuk Israel walaupun status negara tersebut sebagai negara yang tidak meratifikasi Statut Rome," katanya lagi.

Malah ABIM ujarnya percaya bahawa keputusan itu memberi harapan kepada rakyat Palestin dan seluruh umat Islam untuk dilindungi dari sebarang kezaliman, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia.

Justeru ABIM jelas Muhammad Faisal, menggesa seluruh masyarakat antarbangsa tanpa berbelah bahagi untuk menyokong keputusan berani yang dibuat Pre-Trial Chamber I Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu.

Malah tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar prinsip-prinsip terbabit tanpa berat sebelah.