KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan keabsahan suara rakyat dalam menuntut ketelusan badan pentadbiran negara sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Demikian menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz yang menyeru supaya reformasi institusi disegerakan bagi memastikan badan penguat kuasa undang-undang negara ini benar-benar bebas.

"Melangkah ke hadapan, ABIM menggesa reformasi institusi wajib diadakan segera, bermula dengan perubahan membabitkan badan penguat kuasa undang-undang khususnya Badan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya ia benar-benar bebas dari campur tangan kuasa eksekutif.

"Dekad-dekad ini kita menyaksikan seolah pertuduhan jenayah dijadikan senjata sama ada untuk menjatuhkan musuh politik atau menyelamatkan rakan politik.

"Barah ini perlu dibasmi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini, mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Muhammad Faisal berkata, sempena tarikh ulang tahun kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menghampiri, ABIM bersama rakyat Malaysia mengharapkan sinaran harapan yang lebih baik untuk negara, khususnya dalam memastikan ia benar-benar bebas dari rasuah.

"Ini adalah salah satu nilai ikatan Bangsa Malaysia yang kita bawa iaitu Bangsa Bermaruah yang bebas dari rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa," tambahnya.