MALAYSIA
Kerajaan teliti laluan pelaksanaan sesuai bagi potensi guna tenaga nuklear

Akmal Nasrullah bercakap ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15, di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti laluan pelaksanaan yang sesuai untuk ke fasa seterusnya bagi potensi penggunaan tenaga nuklear di negara ini, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Ringkasan AI
- Tenaga nuklear berpotensi dilaksanakan: Kajian prakebolehlaksanaan 2024 mendapati tenaga nuklear berdaya maju secara teknikal dan sesuai sebagai pilihan jangka panjang dalam campuran tenaga negara.
- Kerajaan teliti fasa pelaksanaan seterusnya: Sebanyak 24 penemuan dan 22 syor strategik dikenal pasti; pelaksanaan akan ikut piawaian antarabangsa 3S (keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan).
- Penilaian infrastruktur dan modal insan: MyPower sedang rancang penilaian lokasi, teknikal, komersial serta pembangunan industri dan tenaga kerja bagi sokong kesiapsiagaan tenaga nuklear negara
"Berdasarkan hasil kajian yang positif ini, kerajaan sedang meneliti laluan pelaksanaan yang sesuai untuk ke fasa seterusnya, selaras dengan piawaian antarabangsa dalam aspek keselamatan, sekuriti dan juga kawal gunaan nuklear atau 3S (safety, security and safeguards)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang ingin tahu sama ada kementerian sedang melakukan kajian komprehensif berkenaan penggunaan tenaga nuklear pada masa akan datang bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
Bagi menyokong fasa seterusnya, Akmal Nasrullah berkata kerajaan melalui Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform (MyPower) sedang merancang untuk melaksanakan penilaian terperinci yang bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur tenaga nuklear negara antaranya memperkukuh kerjasama strategik serta rangka kerja perundangan dan kawal selia.
"Selain itu, kerajaan juga melaksanakan penilaian lokasi, kebolehlaksanaan teknikal dan komersial serta hala tuju pembangunan industri, memantapkan strategi libat urus dan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan menggubal kerangka nasional bagi pembangunan modal insan dan perancangan tenaga kerja," katanya.
Beliau berkata penemuan dan syor dalam penilaian itu akan menjadi asas dan rujukan penting kepada kerajaan dalam membuat keputusan yang berpengetahuan menyeluruh dan berpandukan data berhubung pelaksanaan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada perancangan tenaga negara pada masa hadapan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami