Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meminta akhbar Sinar Harian membatalkan penganjuran debat berhubung isu kalimah Allah yang akan diadakan pada Isnin ini kerana berpendapat ia tidak akan menyelesaikan polemik tersebut.

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata acara debat seperti itu tidak akan menyelesaikan masalah kerana polemik itu melibatkan isu teologi yang akan mengundang sensitiviti masyarakat.

"Isu-isu agama yang melingkari masyarakat seperti ini harus diselesaikan menerusi perbincangan yang melibatkan kumpulan ilmuan yang sentiasa berlapang dada dan mengambil pendekatan bersederhana dari kelompok kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Mohammad Faisal juga berpandangan penganjuran debat itu boleh dianggap prejudis kerana kes itu akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau sebaliknya menyeru media untuk mengetengahkan pandangan sederhana dan bersifat ilmiah khususnya dari kelompok agamawan Islam dan Kristian yang merupakan “silent majority” bagi memastikan polemik itu dapat disejukkan.

Mohammad Faisal yang dihubungi oleh Astro AWANI memaklumkan pihaknya sudah mengirimkan surat kepada Sinar Harian melalui faks meminta debat itu dibatalkan dan akhbar itu mengesahkan menerima surat berkenaan.

Debat berkenaan dianjurkan dalam siri Wacana Sinar Harian kali yang ke-26. Ia diberi judul "Perdebatan Hujah Isu Kalimah Allah Dari Perspektif Perundangan".

Debat itu menampilkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan AJK PAS Pusat, Khalid Samad. Ia akan dipengerusikan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz.

Sementara itu, Mohammad Faisal memberitahu Astro AWANI sekiranya debat itu mahu diteruskan ia perlulah fokus kepada isu kalimah Allah daripada sudut agama dan melibatkan mereka pakar yang berlapang dada.

"Kita tidak mahu isu ini dipolitikkan. Kalau ia melibatkan orang politik, kami khuatir jalan penyelesaiannya semakin buntu," katanya.

Debat ini dijangka akan menyentuh soal penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu serta tindakan Jabatan Agama Islam Selangor menyerbu dan merampas Bible daripada Pertubuhan Bible Malaysia baru-baru ini.