Skip to main content

Politik

'Di Malaysia ada 73 parti politik, projek kamikaze bermula setahun lalu' - Rafizi

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi ahli baharu Parti Bersama Malaysia (PBM) pada Perhimpunan Hala Tuju Politik di PJ Perfoming Art Center hari ini.  --fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Rafizi berkata, mereka meneliti serta mendekati parti-parti kecil sedia ada sebelum akhirnya memilih untuk menyertai Parti Bersama Malaysia sebagai wadah perjuangan politik baharu. - Gambar BERNAMA

PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan beliau bersama Nik Nazmi Nik Ahmad merancang untuk mencari platform politik baharu sejak setahun lalu menerusi gerakan kamikaze.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, beberapa parti politik baharu turut didaftarkan sebagai decoy atau umpan bagi mengelirukan pihak tertentu supaya langkah mereka tidak dihidu lebih awal. 

Menurut Rafizi, strategi itu dilakukan kerana mereka menjangkakan sebarang permohonan untuk menubuhkan parti politik baharu tidak akan diluluskan. 

Pada masa sama kata beliau, mereka turut meneliti serta mendekati parti-parti kecil sedia ada sebelum akhirnya memilih untuk menyertai Parti Bersama Malaysia sebagai wadah perjuangan politik baharu. 

"Kami juga tahu untuk mendaftarkan satu parti baharu tidak akan diluluskan. Ada orang tanya, daftarlah parti baharu, tetapi kami sudah tahu kalau daftar parti baharu memang tidak akan diluluskan. 

"Di Malaysia ini ada 73 parti politik. Orang lupa perkara itu. Dia macam memilih di Shopee. Jadi kami mula melihat satu demi satu parti yang ada dan menilai kesesuaian serta aspirasi masing-masing sebelum mengadakan perbincangan lanjut," ketika berucap pada Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Baharu di sini, pada Ahad. 

Rafizi turut merakamkan penghargaan kepada Tan Gin Theam, yang disifatkannya sebagai antara pengasas Parti Bersama Malaysia kerana memahami hasrat mereka serta memberi sokongan terhadap usaha berkenaan. 

Katanya, beberapa siri pertemuan diadakan sebelum kedua-dua pihak mencapai keserasian untuk bergerak bersama dalam platform politik tersebut.

"Hasrat kami ialah untuk menawarkan satu platform politik kepada rakyat yang berfikiran sama, yang yakin bahawa kuasa politik itu milik rakyat dan bukan milik ahli politik. 

"Parti Bersama Malaysia yang berpangkalan di Pulau Pinang juga sebenarnya ditubuhkan rakyat biasa yang tidak dikenali di pentas politik nasional. 

"Saya tidak tubuhkan parti ini, Nik (Nazmi) juga tidak tubuhkan parti ini. Kami hanya menyertai sebuah parti yang diasaskan rakyat biasa di kampung dan bandar,” katanya. 

Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan matlamat mereka untuk membina sebuah gerakan politik yang lebih dekat dengan rakyat dan tidak bergantung kepada dominasi tokoh politik semata-mata.

Must Watch Video