KUCHING: Pengesanan Kes Aktif (ACD) secara mengejut yang dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Simpang Tiga hari ini telah mengesan lebih 40 kes positif yang menyumbang kepada Kluster Jalan Simpang Tiga.

Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia berdasarkan laporan dari Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching hari ini.

Bagaimanapun kata Dr Sim, langkah seterusnya akan melibatkan pengesanan kontak rapat bagi kesemua kes positif itu.

"Ini akan mengambil masa yang lama kerana semua kontak rapat dari 40 lebih pekerja seperti keluarga, rakan sekerja selama 14 hari terakhir perlu dinilai dan akan disaring," katanya dalam satu hantaran menerusi Facebooknya pada Khamis.

 
Sumber Facebook dr.sim.kui.hian

Beliau memohon agar kontak rapat itu menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga keputusan ujian saringan diperoleh bagi mengawal penularan virus.

Kata Dr Sim pihaknya telah meminta KKM untuk mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih tegas di tempat-tempat yang mempunyai kes positif dengan jelas.

“Antara SOP yang perlu diperjelaskan, adakah premis tersebut mesti ditutup untuk pembersihan, pembasmian kuman atau adakah semua kakitangan harus disaring dan adakah syarikat yang membuat sanitasi mempunyai akreditasi,” katanya.

Terdahulu, tular gambar kakitangan di sebuah pusat beli belah di Jalan Simpang Tiga di Kuching tidak dibenarkan keluar dari premis berkenaan selepas dipercayai terdapat jangkitan COVID-19.