Acryl Sani mampu pacu PDRM dengan lebih cemerlang - Abdul Hamid Bador

Astro Awani
Mei 3, 2021 04:25 MYT
Abdul Hamid berkata, sokongan dan dokongan ketua polis negeri serta pengarah bahagian akan memastikaan kejayaan Acryl Sani dalam pasukan. - Gambar Twitter/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abdul Hamid Bador yakin penggantinya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mampu memberi banyak manfaat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang mengakhiri perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara hari ini berkata, sokongan dan dokongan ketua-ketua polis negeri serta pengarah-pengarah bahagian akan memastikan kejayaan Acryl Sani dalam pasukan.
"Saya dengan ini apabila telah serahkan jawatan, saya memberikan segala sokongan, kepercayaan, keyakinan kepada Acryl Sani untuk mengemudi PDRM dan seterusnya saya yakin keterampilan beliau, pengalaman beliau dan jurusan akademik beliau yang tinggi itu akan memberikan banyak manfaat kepada pasukan dan negara," jelasnya.
Abdul Hamid berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) pada Isnin.
Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
BACA: PDRM masih bergelut konflik perang persepsi - Abdul Hamid Bador
Dalam pada itu, Acryl Sani menyeru semua warga PDRM melaksanakan setiap tugasan dengan penuh amanah, berintegriti.
"Jika ditanya perasaan saya ketika ini, ikhlas saya kata ia seolah satu beban yang berat diletakkan di atas bahu.
"Saya percaya bahawa jika bersendirian saya tidak mampu menggalas tanggungjawab tersebut, dalam setiap kali saya menerima tugas-tugas baharu, perasaan mampu atau tidak sentiasa berlegar.
"Saya yakin terhadap barisan pengarah jabatan, ketua polis negeri dan daerah untuk membantu meneruskan tugas yang belum selesai," kata Acryl Sani yang akan memulakan tugas sebagai Ketua Polis Negara ke-13 esok.
#PDRM #Ketua Polis Negara #Abdul Hamid Bador #Acryl Sani Abdullah Sani